AM

Ahmad Zahid Persoal Dakwaan Islam Terancam

09/08/2024 08:40 PM

GUA MUSANG, 9 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan dakwaan berterusan bahawa Islam terancam atau dipinggirkan di bawah Kerajaan Perpaduan tidak berasas.

Beliau berkata menerusi Belanjawan 2024, peruntukan dinaikkan kepada RM1.9 bilion berbanding RM1.4 bilion tahun lepas dalam usaha menjadikan Islam itu syumul dengan pelaksanaan program-program tertentu termasuk pelaksanaan Tabika Pra-Tahfiz.

“Jika ada yang berkata kerajaan MADANI ini ialah kerajaan yang menyebabkan Islam terancam, terancam bagaimana? Soal tabika kita ambil tahu, maahad pun kita ambil tahu, pembangunan masjid kita ambil tahu, elaun guru KAFA, takmir, imam dan bilal pun kita ambil tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra "Peneroka dan Felda Berpisah Tiada" di Felda Perasu di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pada bulan hadapan, satu lagi inisiatif akan diadakan dengan 24,000 huffaz atau penghafal Al-Quran akan berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Insya-Allah akan ada sesuatu yang akan diumumkan. Tuan-tuan dan puan-puan akan lihat bukan huffaz yang hafal al-Quran ini hanya mahu jadi imam dan guru-guru di maahad tahfiz, insya-Allah ada satu program khas yang akan dibuat supaya mereka yang hafal al-Quran ini jadi ahli profesional,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata yang penting ialah melaksanakan usaha untuk memperkukuh Islam di negara ini tanpa ada niat untuk mengetepikan agama dan bangsa lain.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, beliau yakin calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mampu melaksanakan apa yang telah BN janjikan untuk DUN itu.

“Saya amat yakin Awie (Mohd Azmawi Fikri) akan buat (perkara yang dijanjikan), beliau bukan sebarang anak muda, saya kenal beliau … saya yakin dalam pemerhatian saya, Awie ialah calon baik dan rugi bagi orang Nenggiri tidak mengundi beliau,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail. Hari mengundi ditetapkan pada 17 Ogos ini.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan