EKONOMI

Pembangunan Ekosistem EV Di Malaysia Perlukan Pemain EV Global Seperti Tesla - Tengku Zafrul

09/08/2024 08:23 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia memerlukan penyertaan pemain EV global seperti Tesla, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata strategi kementeriannya (MITI) untuk menarik pelaburan dalam industri automotif adalah bersifat sistematik dan strategik serta tidak terhad kepada Tesla sahaja.

Katanya bagi fasa pertama, MITI menyasarkan untuk memudahkan import kereta EV bagi merancakkan pasaran domestik dengan segera yang akan mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 stesen pengecas untuk kegunaan awam dan penggunaan EV yang tinggi di pasaran Malaysia. 

“Apabila kita telah mencapai sasaran tersebut, insya-Allah kita akan berjaya menarik pengeluar EV untuk membangunkan kilang pemasangan atau pembuatan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama berhubung isu ini, hari ini.

Dalam fasa kedua, katanya apabila pengeluar EV global membangunkan kilang pemasangan atau pengeluaran di Malaysia, langkah itu akan mendorong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) automotif tempatan untuk meningkatkan kapasiti masing-masing bagi menyokong rantaian bekalan pengeluaran EV global.

Tengku Zafrul berkata ini termasuk dengan membekalkan alat ganti, komponen dan sistem automasi kilang kepada mereka.

“Kita ada kelebihan sebab sektor semikonduktor kita telah bertapak di sini selama lebih 50 tahun dan EV menggunakan banyak semikonduktor,” katanya. 

Beliau turut menekankan bahawa Tesla sebagai peserta inisiatif Kenderaan Elektrik Bateri Global (BEV) menyokong pembangunan ekosistem EV di Malaysia dari pelbagai aspek meskipun tidak pernah menyatakan komitmen untuk membuka kilang di negara ini.

Katanya setakat ini, Tesla telah membangunkan empat pusat pengalaman di Malaysia dan syarikat automotif multinasional itu juga telah melepasi sasaran untuk memasang 50 unit pengecas apabila telah membangunkan 52 unit pengecas segera dengan kapasiti melebihi 180 kW di pelbagai tempat di Lembah Klang, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang.

Tengku Zafrul berkata inisiatif Global BEV turut mensyaratkan bahawa sekurang-kurangnya 80 peratus pekerja Tesla di sini adalah warga Malaysia dan syarat ini telah dipenuhi.

Katanya syarat lain yang telah dipenuhi Tesla adalah dari segi kerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 PKS tempatan dalam membangunkan ekosistem EV di negara ini.

“Mereka juga telah bekerjasama dengan lima kumpulan perbankan Malaysia dan dua syarikat insurans tempatan dalam menawarkan pakej pembiayaan bagi pembelian kereta Tesla.

“Mereka juga bekerjasama dengan syarikat logistik tempatan untuk mengendalikan pelbagai transaksi berkaitan EV,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kesemua ini menunjukkan kesungguhan Tesla untuk meneruskan pelaburan mereka di Malaysia.

Katanya hanya Tesla yang telah memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEV setakat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan