JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Klasifikasi Kes Pasangan Warga Emas, Cucu Maut Kebakaran Sebagai Bunuh

10/08/2024 05:02 PM

MUAR, 10 Ogos (Bernama) -- Polis mengklasifikasikan semula kes pasangan suami isteri warga emas dan cucu perempuan mereka yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini semalam di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata hal itu susulan terdapat kesan jenayah terhadap kematian ketiga-tiga mangsa selepas bedah siasat dilakukan.

"Sehubungan itu, polis sedang memburu Azman Mohamed Nor, 48, yang dipercayai merupakan suspek utama kepada kejadian berkenaan.

"Selain itu, kes turut diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pengawai Penyiasat ASP Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Muar 06-9564800 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, Ara Abdul Hamid, 76, dan Noradriana Nor Hasyim, 11, maut dalam kebakaran itu, manakala seorang lagi mangsa Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini. 

Semalam, Raiz Mukhliz dilaporkan berkata polis sedang mengesan saksi utama iaitu anak kepada pasangan warga emas itu dikenali sebagai Azman, yang dikatakan tinggal bersama mangsa serta dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan