SUKAN

Sukma ‘Gedung’ Lahir Atlet Raih Pingat Emas Pertama Sukan Olimpik

10/08/2024 07:03 PM

KUCHING, 10 Ogos (Bernama) -- Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) mampu menjadi ‘gedung’ melahirkan atlet berbakat dalam misi penting untuk meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik. 

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini kerana SUKMA menjadi gelanggang yang mempamerkan bakat dari setiap negeri.

"Jika kita lihat negara-negara di Asia Tenggara, Filipina dan Indonesia antara negara yang berjaya meraih pingat emas di Olimpik.

“Oleh itu, saya berharap Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mengatur strategi supaya mampu menghasilkan atlet untuk muncul juara di peringkat lebih tinggi. Kita tidak mahu sekadar jaguh kampung,” katanya selepas merasmikan Pusat Media SUKMA di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Sempena SUKMA 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini Bernama memperkenalkan laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Laman web dwibahasa itu juga akan memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21 kali ini.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan