POLITIK

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Melaka Meninggal Dunia

11/08/2024 08:19 PM

MELAKA, 11 Ogos (Bernama) -- Timbalan Pesuruhjaya III PAS Melaka Muhammad Puhat Bedol meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, ketika menyertai Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Melaka di Kompleks Sukan Batu Berendam, di sini hari ini.

Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Melaka Datuk Kamarudin Sidek berkata Allahyarham Muhammad Puhat, 55, yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Hang Tuah Jaya sebelum itu sedang bermain futsal kategori ibu bapa sebelum rebah dan tidak sedarkan diri, kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Kamarudin, yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin berkata Allahyarham sempat diberi bantuan pernafasan cemas (CPR) oleh peserta lain pada program itu, sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ketika diberi CPR, Allahyarham Muhammad Puhat sempat sedarkan diri seketika sebelum muntah dan dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata solat jenazah akan dilakukan di Madrasah Al-Ikhlas Taman Jati di Batu Berendam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Ayer Keroh di sini selepas maghrib.

Muhammad Puhat dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya III Pas Melaka bagi sesi 2023-2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan