EKONOMI

MJets Air, All Nippon Airways memeterai perjanjian strategik

12/08/2024 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) --  Anak syarikat MMAG Holdings Bhd, MJets Air Sdn Bhd, telah merasmikan perjanjian trafik antara talian bilateral dengan All Nippon Airways Co Ltd (ANA) Jepun.

MMAG melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan perkongsian strategik itu akan memanfaatkan gabungan kekuatan serta rangkaian kedua-dua syarikat penerbangan untuk mengoptimumkan operasi kargo, proses selain meningkatkan kecekapan keseluruhan.

“Perjanjian itu dijangka mengukuhkan kesalinghubungan antara Asia Tenggara, China, Jepun dan rantau Asia yang lebih luas, memastikan aliran kargo yang lebih lancar merentas pasaran utama sambil membenarkan syarikat penerbangan terbabit menawarkan rangkaian perkhidmatan yang lebih komprehensif dengan memanfaatkan kapasiti kargo masing-masing,” katanya.

Di bawah terma perjanjian itu, MJets Air dan ANA akan mengangkut penghantaran masing-masing pada laluan yang ditetapkan, dengan caj serta terma yang akan ditentukan berdasarkan kargo sebenar yang dibawa semasa tempoh sah perjanjian.

Perjanjian itu telah berkuat kuasa mulai 10 Ogos 2024 sehingga ianya ditamatkan oleh mana-mana pihak.

Perkongsian itu juga dijangka menyumbang secara positif kepada keseluruhan aset bersih masa depan dan pendapatan kumpulan MMAG bagi kewangan tahun berakhir 30 Sept 2024.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan