DUNIA

Masa Hadapan MSM Ditutup Lebih Rendah

12/08/2024 09:24 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas adanya tanda-tanda eksport yang lebih lemah selain kebimbangan terhadap lonjakan pengeluaran dalam beberapa minggu akan datang, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau memberitahu Bernama kejatuhan harga minyak kacang soya juga menjejaskan pasaran MSM.

“Kami melihat sokongan pada RM3,650 dan rintangan pada RM3,800," katanya.

Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan bahawa eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 39.92 peratus kepada 1.69 juta tan pada Julai 2024 berbanding 1.21 juta tan yang disaksikan semasa Jun 2024.

Dalam laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi Julai 2024, MPOB berkata stok minyak sawit merosot 5.35 peratus dari bulan ke bulan kepada 1.73 juta tan pada Julai 2024 daripada 1.83 juta tan pada Jun 2024.

Pengeluaran MSM meningkat 13.97 peratus dari bulan ke bulan kepada 1.84 juta tan daripada 1.62 juta tan pada Jun, tambahnya.

Pada penutup, kontrak bulan semerta Ogos 2024 turun RM10 kepada RM3,830 satu tan, September 2024 susut RM24 kepada RM3,779 satu tan dan Oktober 2024 merosot RM39 kepada RM3,708.

November 2024 adalah RM47 lebih rendah kepada RM3,676 satu tan, Disember 2024 mencatatkan kerugian sebanyak RM49 kepada RM3,669 satu tan dan Januari 2025 kurang RM46 kepada RM3 ,681 satu tan.

Jumlah dagangan turun kepada 53,784 lot berbanding 58,890 lot yang direkodkan semasa Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 222,038 kontrak daripada 278,122 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan adalah RM20 lebih rendah pada RM3,880 setan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan