AM

250 pelajar, tenaga pengajar TVET didedahkan kepada KIAR

13/08/2024 07:26 PM

SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Seramai 250 pelajar dan tenaga pengajar daripada pelbagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hari ini menyertai Program Eksplorasi Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Nazli Rasyid Sulong berkata program di Dewan Datuk Seri Azam Baki, pejabat SPRM Selangor di sini itu antara lain bertujuan berkongsi aspirasi mengenai pelaksanaan KIAR TVET susulan keputusan untuk menjadikan KIAR sebagai subjek wajib untuk aliran pendidikan berkenaan.

Beliau berkata KIAR TVET mampu memberikan nilai tambah kepada objektif Dasar TVET Negara 2030 dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri yang berintegriti tinggi serta antirasuah. 

“SPRM telah bersedia untuk menyediakan tenaga pengajar Latihan Jurulatih dan tenaga pensyarah bagi 10 sub modul di bawah kursus ini. Komuniti TVET sememangnya mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara. 

“Untuk rekod, jumlah siswazah TVET dari 2018 hingga 2023 adalah seramai 256,901 orang dengan bidang terbesar TVET adalah kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan dengan kadar kebolehpasaran graduan TVET adalah sebanyak 92.5 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nazli Rasyid berkata SPRM telah mengambil langkah awal dengan memperkenalkan projek rintis KIAR di institusi TVET di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah pada 2021.

Selain itu, KIAR turut diperkenalkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur dan Melaka di bawah Kementerian Sumber Manusia pada Jun 2023 dan di 22 institut latihan di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan bermula Ogos tahun yang sama.

Sebelum ini, SPRM dalam kenyataan memaklumkan kerajaan bersetuju menjadikan modul KIAR sebagai mata pelajaran wajib di semua institusi TVET menerusi mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  pada 20 Mei lepas.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan