DUNIA

Malaysia, Republik Tatarstan Perkukuh Hubungan Industri Halal

13/08/2024 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Halal Development Corporation Berhad (HDC) hari ini menjadi hos kepada Rais (Presiden) Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov, sebagai sebahagian daripada lawatan  rasmi beliau ke Malaysia dari 12 hingga 13 Ogos.

Lawatan itu menyambung hubungan yang terjalin semasa penyertaan HDC di Kazan Forum 2024 pada Mei lepas.

HDC dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Republik dari Persekutuan Rusia itu khususnya dalam ekonomi halal global yang semakin berkembang pesat.

Minnikhanov yang diiringi Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov serta Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi Republik Tatarstan Midkhat Shagiakhmetov, disambut Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun.

Pertemuan itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak membincangkan kerjasama strategik dan meneroka peluang baharu dalam industri halal serta potensi kerjasama dan inisiatif yang boleh mengukuhkan hubungan ekonomi dan meluaskan jangkauan produk dan perkhidmatan halal.

“Lawatan Minnikhanov ke HDC menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia dan Republik Tatarstan khususnya bagi membangun dan mengukuhkan kepentingan bersama dalam sektor halal,” menurut kenyataan itu.

Khairul Azwan dalam kenyataan sama berkata beliau yakin perbincangan pada hari ini akan membawa kepada kerjasama produktif yang bakal memberikan manfaat kepada kedua-dua negara terutama dalam konteks ekonomi halal global.

Menurut HDC, perdagangan antara Malaysia dan Rusia menyaksikan pertumbuhan yang stabil  terutama dalam produk makanan halal, pertanian dan minyak sawit.

Nilai eksport halal dari Malaysia ke Rusia mencatatkan RM465.7 juta pada 2022 berbanding RM351.6 juta pada 2021.

“Kerjasama dalam ekonomi halal dijangka akan terus berkembang, menyumbang kepada pembangunan ekonomi kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pasaran domestik Rusia untuk produk makanan halal juga menunjukkan pertumbuhan yang stabil dengan angka terkini produk halal yang dikeluarkan di Republik Tatarstan mencecah US$137 juta atau tiga peratus daripada nilai output kasar pertanian republik itu pada 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan