SUKAN

Leona pamer pemanduan mantap di SIC untuk podium MCS

14/08/2024 12:18 AM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) --Bintang sukan permotoran Malaysia, Leona Chin bersama rakan sepasukannya Mark Chew daripada Castrol Racing Team mempamerkan aksi cemerlang pada Pusingan 3 Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu lalu.

Menurut kenyataan pasukan itu pelumba tersebut bersaing dalam kategori SP2-V yang melibatkan 19 penyertaan eksklusif untuk model kereta Suzuki Swift dan berjaya mencapai kedudukan podium dengan menampilkan kemahiran pemanduan yang luar biasa dan kehebatan strategi.

Pasukan itu memaklumkan mereka memperoleh petak kelima pada sesi kelayakan Jumaat dengan catatan masa dua minit 45 saat (s) dan Mark menunjukkan pemanduan mengagumkan untuk segera melonjakkan pasukan ke tempat kedua pada hari pelumbaan.

"Pergerakan strategik dan kawalan khusus mengekalkan kedudukan sepanjang peringkat awal perlumbaan. Semasa tempoh pit-stop, Mark menyerahkan pemanduan kepada Leona untuk meneruskan saingan dengan fokus dan ketetapan.

"Pemanduan cemerlang Leona amat penting dalam mengekalkan kedudukan kedua pada baki 18 pusingan dengan menamatkan perlumbaan dengan jumlah masa 54:24.309s, hanya ketinggalan 0.257s dengan pemenang, sekali gus memperoleh mata kejuaraan yanga penting,” menurut pasukan itu.

Castrol Racing Team menyebut kedudukan podium itu adalah bukti kelebihan kompetitif mereka dan meletakkan asas yang kukuh ketika mereka bersiap sedia untuk perlumbaan tahan lasak  MCS 300 kilometer yang dijadualkan pada 6 hingga 8 Sept ini.

"Pasukan tidak sabar untuk mengekalkan momentum dan berusaha meraih mata kejuaraan tambahan pada pusingan seterusnya,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan