DUNIA

Thailand Harap Kerjasama Dalam Industri Perfileman Dengan Malaysia

13/08/2024 10:59 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Thailand berminat untuk memperluas kerjasama sinematiknya dengan Malaysia, melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta, kata Duta Besar Thailand ke Malaysia, Lada Phumas.

Beliau berkata Kementerian Luar Thailand dan Kedutaan Diraja Thailand telah memberi keutamaan kepada promosi kandungan hiburan negara itu melalui filem.

“Kami berharap dapat menjalin hubungan yang bermakna dan meneroka masa depan penerbitan filem yang menarik bersama-sama,” katanya semasa sesi ceramah khas mengenai ‘IGNITE THAILAND: A Premier Destination for High Profile Film Production' sempena Festival Filem Thailand Malaysia 2024 di sini pada Selasa. 

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman berkata sesebuah filem boleh mencapai pasaran yang lebih besar apabila ia bergerak melangkaui satu negara, kerana tiada negara yang boleh mendapat manfaat sepenuhnya dengan bergerak secara solo.

“Kerjasama dapat mewujudkan sinergi yang lebih baik dan antara kemungkinan yang boleh dipertimbangkan ialah filem Thailand boleh dibuat semula menjadi filem Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, ahli Jawatankuasa Strategi Kuasa Lembut Kebangsaan Chalermchatri Yukol dan ahli panel pada ceramah itu berkata kerjasama antara penerbit filem Malaysia dan Thailand boleh menjadi platform yang baik untuk menghasilkan produk filem ASEAN.

Panel lain dalam ceramah itu termasuk penyanyi dan pelakon Thailand Pakorn Lam serta pelakon, pengarah filem, penulis skrip dan penerbit Malaysia, Nasrul Suhaimin Saifuddin atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Bront Palarae.

Sementara itu, Kedutaan Diraja Thailand Kuala Lumpur dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan Festival Filem Thailand tahun ini bertemakan ‘Local Talents to Global Contents’  dianjurkan berserta ceramah khas IGNITE THAILAND.

Sebanyak 20 tayangan percuma lima filem Thailand akan diadakan dari 16 hingga 18 Ogos di empat lokasi Golden Screen Cinemas (GSC) terpilih iaitu Mid Valley, 1 Utama, My Town dan IOI City Mall, Putrajaya.

Lima filem Thailand pelbagai genre yang akan ditayangkan semasa festival itu ialah The Undertaker (komedi-seram), Not Friends (komedi-drama remaja), Daeng (komedi-seram), Haunted Tales (seram) dan Mantra Warrior: The Legend of The Eight Moons (animasi).

Menurut kenyataan itu, Kedutaan Diraja Thailand di sini telah menganjurkan Festival Filem Thailand di Malaysia sejak 2017 dengan komitmen untuk mempromosikan pertukaran budaya dan pemahaman mengenai identiti Thailand dalam kalangan rakyat Malaysia melalui lensa filem sekali gus menyumbang kepada hubungan yang lebih kukuh dan persahabatan yang berpanjangan antara kedua-dua negara.

Katanya, Festival Filem Thailand 2024 mengangkat visi kerajaan Thailand ‘Ignite Thailand’ dengan matlamat untuk menjadikan Thailand sebagai hab perindustrian global, khususnya dalam bidang kandungan kreatif dan pelancongan, sambil berusaha untuk menggalakkan kerjasama yang lebih erat dan saling menguntungkan antara industri filem Thailand dan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan