SUKAN

TYT dan isteri serikan saingan wushu SUKMA 2024

14/08/2024 07:20 PM

KUCHING, 14 Ogos (Bernama) -- Saingan wushu Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 menerima kehadiran tetamu istimewa apabila Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isterinya Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hadir ke venue pertandingan di Dewan Wushu  Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) di sini hari ini.

Wan Junaidi dan isterinya meluangkan masa menyaksikan tiga saingan final yang berlangsung iaitu changquan lelaki dan wanita serta taijijian lelaki.

Lebih manis, kehadiran beliau meniupkan semangat kontinjen Bumi Kenyalang yang berjaya menuai pingat emas pertama Sarawak menerusi Stephanie Ngu Chai Ern dalam acara changquan wanita.

Beliau kemudian turut menyempurnakan majlis penyampaian pingat dengan mengalungkan pingat kepada pemenang.

Stephanie Ngu berjaya mencapai pungutan mata tertinggi iaitu 9.603 meninggalkan atlet Johor Lee Jia Rong dan Kelly Chin Sy Jie dari Melaka yang masing-masing mencatat pungutan mata 9.600 dan 9.586 bagi pingat perak dan gangsa. 

Wushu, sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula hari ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan