EKONOMI

VS Industry Peroleh Tempahan Baharu Di Filipina, Jangkaan Perolehan Sebanyak RM1.5 Bilion

14/08/2024 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- VS Industry Bhd (VS Industry) memperoleh tempahan baharu di Filipina dengan nilai agregat sebanyak RM1.5 bilion dalam tempoh dua tahun kewangan akan datang.

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik itu berkata anak syarikat milik penuhnya, VS Industry Philippines Inc telah menerima tempahan baharu daripada pelanggan utama untuk mengeluarkan produk elektronik pengguna terpilih berdasarkan pemasangan binaan kotak (box build) iaitu penyediaan proses menyeluruh daripada peringkat pengeluaran kepada pemasangan, pengujian, pembungkusan, pelabelan dan susunan logistik.

Ia berkata jangkaan sumbangan perolehan daripada pelanggan berdasarkan pesanan yang berulang ialah RM300 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 dan RM1.2 bilion untuk tahun kewangan 2026.

"Ini diperoleh daripada jangkaan terhadap jumlah jualan dan harga, menjadikan agregat hasil yang diunjurkan dalam dua tahun kewangan akan datang menjadi RM1.5 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusannya Datuk SY Gan berkata syarikat itu mahu memulakan operasi di kemudahan itu di Filipina dan menyasarkan untuk memulakan pengeluaran besar-besaran menjelang suku pertama 2025.

Untuk memenuhi pesanan baharu, VS Industry Philippines juga telah memeterai perjanjian pajakan dengan ALogis Artico, Inc untuk pajakan seluas 52,782 meter persegi bangunan kilang yang terletak di Batangas.

Beliau berkata syarikat itu telah memilih model ringan aset secara strategik untuk penerokaannya di Filipina sebagai elemen teras strategi pengurusan risikonya.

“Oleh itu, kemudahan kumpulan di Filipina disewakan, ia secara ketara mengurangkan komitmen kewangan kami. Kumpulan ini telah memperuntukkan kira-kira RM100.0 juta untuk perbelanjaan modal yang akan dibiayai menerusi dana dijana secara dalaman.

"Pemasangan mesin akan dimulakan tidak lama lagi dengan sesi percubaan dijalankan selepas itu," katanya.

Pajakan adalah bagi tempoh lima tahun bermula dari 2 Sepember 2024 dengan pilihan untuk memperbaharui selama lima tahun lagi mengikut terma yang dipersetujui bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan