SUKAN

NSFC Buat Penstrukturan Semula Barisan Kejurulatihan

16/08/2024 08:15 AM

SEREMBAN, 15 Ogos (Bernama) -- Negeri Sembilan Football Club Sdn Bhd (NSFC) melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan pasukan Liga Super Negeri Sembilan FC berkuat kuasa hari ini dan melantik Penolong Ketua Jurulatih K. Nanthakuma sebagai ketua jurulatih pasukan itu.

NSFC dalam satu kenyataan memaklumkan, K. Nanthakumar akan dibantu penolong ketua jurulatih baharu iaitu Efendi Abdul Malek dan K Rajan.

Sementara itu, Megat Amir Faisal kembali menggalas tugas sebagai jurulatih penjaga gol, manakala  jawatan Efendi sebagai pengarah teknikal sebelum ini, akan diambil alih oleh Azzmi Ab Aziz.

“Kelab telah menjalankan semakan menyeluruh terhadap struktur dan operasi pasukan Liga Super Negeri Sembilan FC, dan selepas pertimbangan yang teliti, pihak pengurusan bersetuju bahawa penstrukturan semula adalah perlu.

“Proses penstrukturan ini melibatkan perubahan barisan kejurulatihan pasukan Liga Super Negeri Sembilan FC sahaja, bagi memastikan kelab kekal berdaya saing di peringkat Liga Super,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan NSFC itu memaklumkan pihaknya mengakui akan cabaran yang bakal dihadapi dalam melakukan perubahan ini, namun yakin langkah tersebut dapat membawa pasukan kekal kompetetif selain terus komited dengan perancangan jangka panjang yang telah direncanakan pada awal musim, meliputi aspek pembangunan serta objektif yang ingin dicapai pada masa hadapan.

“Diharap sokongan berterusan dapat diberikan bagi mengharungi fasa penting perjalanan membina semula kelab ini dan terima kasih atas sokongan serta kesetiaan tidak berbelah bahagi daripada semua penyokong,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan