BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 DUNIA

Ekspo Perdagangan China-Malaysia Di Kuala Lumpur Akan Tarik Lebih 2,000 Usahawan

16/08/2024 11:12 AM

TAIYUAN (China), 16 Ogos (Bernama) -- Pusat Perkhidmatan Pameran Guangzhou akan menganjurkan Pameran Perdagangan China-Malaysia (MCTE) di Kuala Lumpur, yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara syarikat China dan negara Jalur dan Laluan serta menggalakkan pembangunan perdagangan asing yang berkualiti tinggi.

Presiden Persatuan Usahawan Perintis Malaysia (MPEA) Datuk Joseph Lim berkata pameran itu akan diadakan dari 25 hingga 27 Sept di Pusat Dagangan Dunia KL, dengan acara itu dijangka menampilkan 500 reruai dan menarik lebih 2,000 usahawan China ke Malaysia.

Pameran yang diadakan setiap tahun sejak 2017 itu dianjurkan oleh China International Exhibition Centre Group Ltd (CIEC) dan disokong oleh MATRADE dan Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB) sebagai acara antarabangsa utama.

Acara itu akan menampilkan sesi pemadanan perniagaan utama, termasuk "Sidang Kemuncak Pemimpin Perniagaan Cina Jalur dan Laluan" yang dijadualkan pada 26 Sept, tambah Lim.

Lim dan delegasinya, yang dijemput oleh Pusat China-ASEAN untuk mengambil bahagian dalam Minggu China-ASEAN 2024, bercakap kepada Bernama sebelum pulang ke Malaysia selepas menyertai acara itu.

Mengenai Shanxi sebagai lokasi acara itu, Lim berkata bandar seperti Changzhi, Taiyuan, Pingshun dan Pingyao agak tidak dikenali oleh ramai usahawan dan pelancong Malaysia tetapi selepas lawatan baru-baru ini ke bandar itu, beliau kini melihatnya sebagai destinasi baharu yang menjanjikan manfaat yang besar bagi peniaga dan pelancong Malaysia.

"Shanxi menawarkan lebih daripada industri arang batunya. Wilayah ini mempunyai pelbagai industri dan kraf serta menempatkan tapak bersejarah yang memiliki warisan penting, seperti Jinci (Kuil Jin), yang mempunyai sejarah lebih 3,000 tahun. Kekayaan sejarah wilayah ini benar-benar luar biasa," katanya.

Minggu China-ASEAN tahun ini menampilkan beberapa siri aktiviti, termasuk Seminar Promosi Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-China (Shanxi).

Acara itu juga mempamerkan tarikan budaya Shanxi, yang dikenali sebagai "Khazanah sejarah China", dengan tapak utama termasuk Pergunungan Taihang, Ngarai Tongtian, Taman Tanah Lembap Bandar Nasional Tasik Zhangze, Kuil Confucius Pingyao yang diiktiraf sebagai warisan dunia, bank draf pertama China atau 'Piaohao' - bekas bank "Rishengchang", dan Halaman Keluarga Qiao di Daerah Qi, yang pernah menjadi keluarga pedagang kaya selama lebih 200 tahun pada akhir Dinasti Qing.

Lim berkata lawatan itu membuahkan hasil yang ketara, termasuk pemadanan perniagaan yang berkesan dan kerjasama dengan wakil dari pelbagai wilayah dan bandar.

Beliau berkata ahli perniagaan dari Qingdao, Wilayah Shandong menunjukkan minat untuk melawat Malaysia.

Sebagai tindak balas, MPEA merancang untuk menganjurkan delegasi ke Qingdao pada Oktober untuk perbincangan lanjut dan memupuk kerjasama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan