BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 EKONOMI

Malaysia Gesa Kepada Lebih Banyak PPP Dalam APEC Bagi Pacu Peralihan Tenaga Mampan

16/08/2024 01:39 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

LIMA (PERU), 16 Ogos (Bernama) -- Malaysia menggesa kepada lebih banyak perkongsian awam-swasta (PPP) dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk memacu peralihan tenaga dalam kalangan ekonomi anggota selain memastikan keterangkuman dan kemampanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata dengan mewujudkan persekitaran yang menyokong melalui rangka kerja kawal selia yang menyediakan kestabilan untuk pelabur dan menggalakkan ekosistem melalui penyelidikan dan pembangunan, ekonomi anggota APEC boleh meningkatkan lagi pembangunan dan penggunaan penyelesaian tenaga bersih.

“PPP penting dalam menggerakkan sumber, kepakaran dan inovasi untuk peralihan tenaga,” katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC ke-14 (EMM14) semalam.

Beliau berkata Malaysia telah mewujudkan beberapa model PPP yang berjaya yang boleh dijadikan sebagai panduan oleh ekonomi anggota APEC.

Misalnya, katanya program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) negara yang diperluaskan melalui NEM 3.0, membolehkan pengguna menjana elektrik melalui pemasangan solar fotovoltan.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata program Solar Berskala Besar (LSS) Malaysia melalui bidaan yang kompetitif, telah menarik pelaburan sektor swasta yang besar, meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu ekonomi tempatan.

Selain itu, katanya program Sijil Tenaga Boleh Baharu dan Penggunaan Sendiri menyediakan ruang kepada pengguna dan perniagaan untuk menyumbang secara kolektif kepada matlamat Malaysia untuk meningkatkan tenaga boleh baharu dalam campuran tenaganya.

Fadillah berkata Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dengan melancarkan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat baru-baru ini, bertujuan untuk membuka akses pihak ketiga kepada grid elektrik negara.

“Ini akan membolehkan pembeli tenaga elektrik merundingkan harga secara langsung dengan loji tenaga boleh baharu, menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan mereka yang terlibat dalam tenaga hijau dan menarik lebih ramai pemain industri tempatan.

“Langkah ini sejajar dengan matlamat kami untuk meningkatkan komposisi tenaga boleh baharu kepada 70 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan menjelang 2050,” katanya.

Fadillah menekankan bahawa peralihan tenaga perlu bersifat menyeluruh, menyepadukan kemampanan, keterangkuman dan adil.

“Negara turut komited untuk memanfaatkan strategi dan teknologi inovatif untuk mencapai matlamat ini.

“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) kami, yang dilancarkan pada Julai 2023, menekankan peralihan yang adil dan saksama ke arah sumber tenaga boleh baharu. Pelan hala tuju ini menggariskan prinsip dan inisiatif untuk memastikan peralihan tenaga memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat,” katanya.

NETR menyokong usaha bersepadu yang melibatkan agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam, selain strategi kerjasama ini penting untuk memastikan tiada komuniti yang tertinggal.

Sementara itu, Fadillah berkata Malaysia turut mengkaji inovasi dalam penyimpanan tenaga dan teknologi pengurusan grid seperti hidrogen sebagai pembawa tenaga bersih dan teknologi bateri termaju, untuk menyokong integrasi tenaga boleh baharu serta memastikan jaminan dan daya tahan tenaga.

“Bagi memudahkan pemindahan pengetahuan dan pembinaan kapasiti daripada amalan terbaik, Malaysia meneruskan pendekatan pelbagai aspek melalui kerjasama merentas sektor, kerjasama serantau dan inisiatif pembinaan kapasiti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan