JENAYAH & MAHKAMAH

Pekerja Kilang, Anak Tiri Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah

16/08/2024 05:17 PM

KUANTAN, 16 Ogos (Bernama) -- Seorang pekerja kilang dan anak tirinya maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di KM 6 Jalan Kampung Pulau Mansok-Jerantut, berhampiran Sekolah Kebangsaan Pulau Mansok, Jerantut hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad berkata dalam kemalangan sekitar 6.30 pagi itu,  warga Bangladesh Mohammad Adam, 39, dan Muhamad Faiq Aqwa Abdullah, 9, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Mohammad Adam yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan menghantar anak tirinya ke Sekolah Kebangsaan Perian, manakala pemandu kereta Perodua Axia sedang menghala ke arah Batu Embun.

“Di lokasi kejadian, mangsa cuba mengelak lubang di kiri jalan sehingga masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu seorang wanita berusia 41 tahun bersama anak lelakinya berumur lima tahun telah terbabas ke sebelah kanan dan terjatuh ke dalam gaung, namun kedua-dua mereka hanya mengalami cedera ringan. 

Zukri berkata mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan pihaknya akan menghubungi kedutaan Bangladesh untuk pengesahan pasport serta kewarganegaraan Mohammad Adam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan