AM

Tabung Kasih@HAWANA Bantu Bekas Pengamal Media Sarawak

17/08/2024 04:48 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Dua bekas pengamal media di Sarawak menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, untuk membantu mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.

Mereka ialah bekas Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sarawak Effendi Ariffin dan bekas wartawan Suara Sarawak Ismaili Basmawi. 

Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berkenaan Arul Rajoo Durar Raj di sini hari ini. 

"Effendi menghidap strok sejak Mac lepas, manakala Ismaili mengalami masalah buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu," menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) hari ini.

Selain Bernama, Effendi, 76, juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri Sarawak keempat Tun Abdul Taib Mahmud.

Ismaili, 56, yang memulakan karier dalam bidang kewartawanan di Borneo Post pada 1991 juga pernah bertugas di Malaysian Today, Berita Harian, Eastern Times, Sarawak Tribune dan Suara Sarawak.

Setakat ini, sebanyak 142 rakan media telah menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lepas.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

Inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama, dan menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau telah bersara.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan