EKONOMI

Busan Sasar Tarik 60,000 Pelancong Malaysia Tahun Ini Untuk Pacu Pertumbuhan Ekonomi

18/08/2024 11:56 AM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Busan, bandar kedua terbesar di Korea Selatan menyasar menarik kedatangan 60,000 pelancong Malaysia tahun ini untuk merancakkan perniagaan tempatan serta memacu pertumbuhan ekonominya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Busan Tourism Organisation (BTO) Lee Jung-Sil berkata setakat Mei 2024, Busan menerima kedatangan kira-kira 20,000 pelancong Malaysia.

Menurutnya, BTO akan terus mengadakan kerjasama pertukaran antara bandar dan pembangunan pelancongan antara kedua-dua negara.  

“Industri pelancongan di Busan menyumbang kira-kira enam hingga tujuh peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Korea Selatan,” katanya kepada media semasa acara Busan Hugs di KL: Healing By The Sea, baru-baru ini.

Busan mencatatkan KDNK berjumlah 104.29 juta won pada 2022.

Lee berkata secara keseluruhannya seramai 1.82 juta pelancong melawat Busan tahun lepas berbanding 1.67 juta pada 2022. Daripada jumlah itu seramai 37,269 adalah pelancong Malaysia yang berada di kedudukan ketiga selepas Taiwan dan Thailand bagi pasaran pelancong berkumpulan. 

Justeru, katanya, BTO berhasrat untuk mempromosikan kepelbagaian dan daya tarikan Busan bagi meningkatkan lagi kesedaran tentang bandar pelabuhan terkenal yang terletak di bahagian tenggara Korea Selatan itu.

“Aliran masuk pelancong meningkat dengan ketara apabila AirAsia membuka laluan terus Kuala Lumpur-Busan pada Februari 2023 tetapi laluan ini digantung buat masa ini.

“Sebaliknya, pelancong masuk melalui pakej transit melalui Seoul, terutamanya lawatan secara berkumpulan,” katanya.

Beliau melihat Malaysia sebagai pasaran yang seimbang untuk pelancong individu dan kumpulan serta pelawat mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

 

Usaha Mempromosi Busan

Pada 2023, National Geographic Travel telah menamakan Busan sebagai antara  "25 Destinasi Pelancongan Terbaik di Dunia Tahun Ini" berikutan kemeriahan budaya dan pelbagai daya tarikan menarik yang ditawarkan.

Antara daya tarikan utama bandar yang terletak di pesisir pantai itu adalah Busan Air Cruise, Haeundae Blueline Park Beach Train, Lotte World Adventure Busan dan X The Sky.

Pada Feb 2023, BTO melancarkan Visit Busan Pass, pas sehari bagi penggunaan pengangkutan sebagai usaha menggalakkan pelancong menginap di bandar itu.

“Pas itu menawarkan pelbagai kelebihan menarik bagi tempoh penggunaan dalam masa 24 atau 48 jam pada harga berpatutan.

"Kami telah menjual hampir 100,000 pas kepada pelancong sejak ia dilancarkan,” katanya sambil menambah mereka menyasar menjual 200,000 pas tahun ini dengan 5,000 pas akan dijual di Malaysia.

BTO juga menyediakan insentif kepada agensi pelancongan untuk rakan kongsi pelancongan di luar negara dengan beberapa tahap sokongan kewangan, katanya.

“Agensi pelancongan perlu bekerjasama dengan Agensi Pelancongan Busan untuk mendapatkan sokongan kewangan bergantung pada bilangan pelancong yang dibawa masuk dan sama ada ia lawatan melancong atau mesyuarat korporat,” katanya.

 

Prospek

Pada masa hadapan, BTO menyasar untuk meletakkan Busan dalam senarai 10 Bandar Pelancongan Terbaik Antarabangsa bagi liburan dan perniagaan serta daya tarikan pantai, pergunungan dan alam semula jadinya. 

“Kami sedang membangunkan daya tarikan untuk menarik pelancong dan menambah baik infrastruktur bagi memudahkan perjalanan mereka terutama bagi pelawat yang bertutur dalam Bahasa Inggeris. 

“Bagi pelancong Islam, kami menyediakan surau yang lebih selesa dan lebih banyak restoran mesra halal kerana budaya makanan di sini adalah makanan laut dan berasaskan vegetarian,” katanya.

Lee berharap Lapangan Terbang Gadeokdo yang bakal menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pada 2030 dan memenuhi keperluan 20 juta orang setiap tahun, akan meningkatkan sektor pelancongan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Busan serta menonjolkannya sebagai destinasi pelancangan utama global.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan