AM

Ahmad Zahid, Fahmi Ziarah Allahyarham Rozaid Abdul Rahman

19/08/2024 12:48 AM

SUBANG JAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini meluangkan masa menziarahi jenazah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Rozaid Abdul Rahman di kediamannya di sini.

Ahmad Zahid, yang tiba pada 11.30 malam, meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni ahli keluarga wartawan veteran itu.

Turut hadir menziarahi bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Rozaid, 59, meninggal dunia petang tadi di rumahnya di Putra Heights dekat sini akibat masalah jantung.

Difahamkan jenazah beliau akan disolatkan di Masjid Putra Heights pada 8.30 pagi esok dan dikebumikan di Sungai Dua, Pulau Pinang.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei 2023.

Berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama lebih 40 tahun, wartawan veteran itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 1 Julai dan dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos lepas.

Sementara itu, Fahmi berkata Rozaid banyak berjasa dalam bidang kewartawanan negara.

"Saya cukup sedih dengan pemergian arwah yang banyak berjasa dengan dunia kewartawanan di Malaysia," katanya kepada Bernama di kediaman Allahyarham.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan