AM

Malaysia-Brunei Tekad Tingkatkan Kerjasama Dua Hala - PM Anwar

18/08/2024 03:46 PM

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei berada pada tahap terbaik ketika ini.

Beliau berkata lawatan rasmi Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia merupakan isyarat penting kepada negara bahawa seluruh pimpinan Brunei tekad untuk meningkatkan kerjasama dua hala.

"Kehadiran Putera Mahkota Brunei menunjukkan bahawa seluruh kekuatan dan kepimpinan Brunei bersama dan tekad meningkatkan kerjasama," katanya kepada media selepas menjadi hos majlis makan tengah hari sempena kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei, di sini hari ini.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu, termasuk memperkukuh hubungan dua hala antaranya bidang pertahanan, latihan, industri, teknologi, agama Islam, kebudayaan dan bahasa Melayu yang akan memberi manfaat dan peluang kepada rakyat di kedua-dua negara.

Menurut Anwar, beliau dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sebelum ini telah mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Brunei.

Pada 20 Julai lepas, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, di Kompleks Seri Perdana pada pukul 11.25 pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda bersama isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah turut disambut isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Baginda dalam lawatan rasmi lima hari ke Malaysia bermula 17 Ogos hingga 21 Ogos ini.

Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak US$2.04 bilion (RM9.31 bilion).

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan