SUKAN

Fan Pastikan Tuan Rumah ‘Tutup’ Megalanes Sarawak Dengan Bergaya

20/08/2024 11:10 PM

KUCHING, 20 Ogos (Bernama) -- Lagu ‘Ibu Pertiwi’ terus berkumandang di Megalanes Sarawak apabila Fan Yew Tsen penyumbang pingat emas terakhir menerusi acara tenpin boling Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Dalam acara Masters lelaki, Fan, 21, mengutip emas kelima selepas rakan sepasukan menggungguli kategori perseorangan wanita, beregu wanita, beregu campuran dan trio wanita.

Kejayaan Fan turut memastikan tuan rumah menamatkan saingan di tempat pertama diikuti Selangor, Pulau Pinang, Johor, Perak, Terengganu dan Negeri Sembilan, yang masing-masing menuai satu emas. 

Pada perlawanan penentuan juara, Fan mengecewakan Mohammad Zuhair Zailani dari Pulau Pinang, 2 (208, 202, 215) - 1 (200, 212,192), yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. 

Atlet Terengganu, Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan pula yang meraih gelaran juara Remaja Asia baru-baru ini menuai pingat gangsa selepas mengetepikan cabaran wakil Johor, Aliff Haiqal Sahrul, 2 (200, 219) - 0 (182, 187). 

Sementara itu, saingan Masters wanita menyaksikan Anis Hannani Romzi dari Johor menumbangkan wakil Kedah, Nur Anis Anisya Muhamad Zaffli, 2 (254,215) - 0 (197,165). 

Atlet tuan rumah, Nur Hazirah Ramli yang telah mengaut empat pingat emas peribadi pada edisi ke-21 ini tidak dapat menandingi ‘semangat’ ditampilkan atlet Selangor, Adelia Nur Irwan Syazalee apabila ditumpaskan 0 (164,150) - 2 (204,219). 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan