DUNIA

Anwar Sokong Lebih Banyak Dagangan India-Malaysia Guna Mata Wang Negara

21/08/2024 01:38 AM

Daripada Shakir Husain

NEW DELHI, 21 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyuarakan sokongan beliau terhadap cadangan agar lebih banyak perdagangan Malaysia-India menggunakan mata wang negara masing-masing.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia telah bersetuju untuk meningkatkan lagi penggunaan rupee India dan ringgit bagi pertumbuhan perdagangan dua hala sebagaimana dibuktikan menerusi kejayaan dagangan Malaysia dengan China, Thailand dan Indonesia.

“Saya memberi maklum balas yang amat positif terhadap cadangan Perdana Menteri (Narendra) Modi berkaitan keperluan untuk menggunakan mata wang tempatan," kata beliau pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging on Malaysia-India Ties’ di Sapru House, Indian Council of World Affairs (ICWA) di sini pada Selasa.

Pada masa sama, Anwar turut menyarankan supaya lebih banyak negara sewajarnya menggunakan mata wang negara masing-masing dalam perdagangan daripada bergantung kepada sistem monetari lama yang didorong dari Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan awal pada sidang media bersama Anwar, Modi berkata India-Malaysia sedang mencatat kemajuan dan transaksi kini dapat diselesaikan menggunakan rupee dan ringgit.

Satu kenyataan bersama India-Malaysia menyatakan kedua-dua pemimpin itu dalam perbincangan mereka turut "menghargai kerjasama antara Reserve Bank of India dan Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan dua hala selain menggalakkan industri kedua-dua pihak memudahkan lagi aspek invois dan penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan."

Anwar tiba di New Delhi pada Isnin bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-India yang terjalin selama 67 tahun selain mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor di masa depan.

Dalam lawatan itu, beliau diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke India sejak menjadi perdana menteri pada November 2022.

Perdagangan dua hala Malaysia dan India pada 2023 bernilai US$16.5 bilion, didorong oleh kadar pertumbuhan tahunan kompaun pada 8.5 peratus sejak dua dekad lepas. (US$1 = RM4.38)

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan