AM

Guilin Mahu Jalin Kerjasama "Sister City" Dengan Kota Kinabalu

22/08/2024 11:31 AM

Daripada Noorazlina Jindeh

GUILIN (China), 22 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Perbandaran Guilin berhasrat untuk menjalinkan kerjasama "sister city" dengan Kota Kinabalu sekali gus menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala  kedua-dua pihak. 

Ketua Pengarah Jabatan Publisiti Jawatankuasa CPC Guilin Li Jun berkata jemputan untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2024 sudah disampaikan kepada bandar raya Kota Kinabalu, dan acara itu boleh digunakan sebagai platform bagi menandatangani Surat Niat (LOI).

Beliau berkata CAEXPO 2024 dijadualkan berlangsung di Bandar Guilin di sini dari 26 hingga 29 Sept.

"Kami telah menghantar jemputan dan bertanya siapa yang akan hadir untuk menandatangani LOI," katanya kepada pemberita melalui penterjemah selepas menganjurkan majlis makan malam sempena lawatan media Sabah ke bandar Guilin malam tadi.

Turut hadir Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Guilin Wen Pu; Naib Ketua Pengarah Jabatan Publisiti Jawatankuasa CPC Guilin Tang Li; dan Naib Presiden Persatuan Rakyat Guilin untuk Persahabatan dengan Negara Asing Lu Feixiong.

Seramai 11 wakil media dari Sabah melawat Guangzhou dan Guilin atas jemputan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu untuk lawatan enam hari bermula Ahad lepas. 

Sementara itu, dalam ucapan di majlis berkenaan, Li berkata Sabah destinasi pelancongan terkenal di Malaysia dan dunia yang popular dengan landskap semula jadi serta budaya menakjubkan sehingga mendapat gelaran Negeri di Bawah Bayu.

Beliau berkata Datuk Bandar Guilin Li Chu memberikan keutamaan terhadap hubungan rapat antara Guilin dan Kota Kinabalu memandangkan kedua-dua pihak sering berhubung.

Li berkata Guilin satu daripada bandar terawal di Guangxi yang menjalin hubungan "sister city" di peringkat antarabangsa.

"Sehingga kini terdapat 12 'sister city' dengan memberi penekanan khusus terhadap perkembangan hubungan rapat dengan negara-negara ASEAN," kata Li.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan