EKONOMI

Malaysia Ketuai Koordinasi Perbincangan Semakan FTA ASEAN-India November Ini - Tengku Zafrul

22/08/2024 03:37 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan mengetuai koordinasi antara negara ASEAN dan India bagi mengadakan perbincangan untuk meningkatkan aspek perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara kedua-dua pihak.

 Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pasukan dari Malaysia akan berkunjung ke New Delhi pada November depan untuk menghadiri sesi perundingan berkaitan FTA bagi pihak ASEAN bersama India, memandangkan Malaysia akan menggalas jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.

"Kita sasar tahun depan apabila kita mempengerusikan ASEAN, kita akan dapat memuktamadkan semakan FTA antara India dan Asean yang memang sudah ada, tapi mahu dipertingkatkan lagi.

"Malaysia diberi tanggungjawab ini untuk coordinate (menyelaras)," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri India Narendra Modi semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu baru-baru ini yang berharap semakan perjanjian perdagangan bebas bagi barangan antara ASEAN dan India diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

India dan ASEAN telah mengadakan beberapa pusingan rundingan untuk membuat perubahan kepada Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) bagi menjadikan perjanjian itu lebih memudahkan perdagangan dan bermanfaat untuk perniagaan di seluruh rantau.

Perbincangan tersebut bermula pada Mei 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan