SUKAN

SUKMA 2024: Letshanaa Terkandas, Justin Buru Emas

23/08/2024 09:46 PM

SIBU, 23 Ogos (Bernama)  -- Perjuangan pemain perseorangan wanita kebangsaan K Letshanaa terhenti apabila tewas pada perlawanan separuh akhir badminton Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Letshanaa yang mewakili Selangor tewas set pertama 19-21 cuba bangkit mendominasi set kedua 21-12, namun gagal meneruskan rentak cemerlang tunduk 20-22 kepada wakil Pulau Piinang Oo Shan Zi pada aksi separuh akhir di Stadium Tertutup Sibu.

Shan Zi yang juga pemain pelapis kebangsaan akan membuat perhitungan dengan wakil tuan rumah Wong Ling Ching pada aksi final esok.

Terdahulu Ling Ching mengetepikan cabaran Siti Nurshuhaini Azman dari Selangor 21-18, 21-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, pilihan utama Justin Hoh dari Wilayah Persekutuan menepati ramalan melangkah ke pentas akhir setelah menumpaskan wakil Selangor Chua Kim Sheng 21-18, 21-9.

Justin akan merebut pingat emas dengan pelapis kebangsaan mewakili Pulau Pinang Ong Zhen Yi yang menewaskan Hooi Shao Herng dari Wilayah Persekutuan 21-18, 22-20.

Sementara itu, anak legenda beregu negara Datuk Razif Sidek iaitu Muhammad Fazriq dengan gandingannya Bryan Jeremy Goonting dari Wilayah Persekutuan terlepas tiket final selepas tewas kepada pasangan Selangor Lok Hong Guan-Muhammad Faiq Haziq Masawi 21-14, 16-21, 22-24.

Saingan akhir beregu lelaki bakal menyaksikan Lok Hong/Muhammad Faiq Haziq akan bertemu pasangan Pulau Pinang Goh Boon Zhe-Rayner Beh Chun yang menewaskan beregu Selangor Goh Yi Qin-Wong Vin Sean 21-17, 21-12.

Beregu wanita Perak Chong Jie Yu-Vannee Gobi Yap melangkah ke pentas akhir setelah menundukkan pasangan kembar dari Kedah Cheng Su Hui-Cheng Su Yin 15-21, 21-18, 24-22.

Jie Yu-Vannee akan berdepan Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu dalam perlawanan akhir beregu wanita.

Aksi beregu campuran pula menyaksikan pasangan Pulau Pinang Tan Wei Liang-Khor Jing Wen akan berdepan wakil Melaka Aaron Tan-Noraqilah Maisarah Ramdan.

Aksi final dijadual berlangsung 11 pagi, esok.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan