AM

Pelesenan Media Sosial Beri Perlindungan, Keselamatan Kepada Pengguna

24/08/2024 10:09 AM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Pelesenan platform media sosial yang bakal berkuat kuasa pada 1 Jan tahun depan merupakan langkah proaktif kerajaan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna.

Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata kawal selia yang dilaksanakan merupakan intervensi perundangan penting supaya tidak mengganggu gugat ketenteraman awam dan seterusnya mendatangkan kemudaratan kepada keharmonian negara.

“Dengan kepesatan teknologi telekomunikasi dengan kadar liputan sehingga 97 peratus di negara ini, kita melihat timbul penyalahgunaan platform media sosial terutamanya berkaitan buli siber, jenayah siber dan ucapan berbaur kebencian,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata sudah sampai masanya pelesenan atau intervensi undang-undang yang akan termaktub di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dilaksanakan, selepas 26 tahun Internet diperkenalkan di Malaysia.

“Sebab itu kita rasakan sudah sampai masanya untuk kita bawa apa yang asalnya tidak dilesenkan perlu dimasukkan dalam kawal selia pelesenan, itu pendekatan yang kita gunakan kerana kerangka kerja itu sudah ada,” katanya.

Sebelum ini, MCMC memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di negara ini perlu memohon ASP(C).

Zulkarnain berkata berdasarkan pemantauan pihaknya, penyedia perkhidmatan platform Internet itu dilihat kurang mengambil tanggungjawab untuk melindungi pengguna.

“Pada asalnya kita bagi kelonggaran untuk menggalakkan penggunaan aplikasi dalam talian namun begitu apabila kita mendapati kemudaratan semakin parah, di sinilah kerajaan membuat ketetapan untuk mengawal selia,” katanya.

Beliau berkata kawal selia itu juga memberikan ruang kepada aspek keselamatan dan keadilan pasaran dan pada masa sama meningkatkan keyakinan pengguna untuk menggunakan aplikasi tersebut.

“Contohnya masih ada yang menggunakan urusan perbankan konvensional atau tradisional dan tiada perbankan dalam talian kerana mereka mungkin rasa tidak selamat dan tidak percaya kepada platform atau aplikasi yang dibangunkan.

“Jadi menerusi intervensi perundangan ini, kita memberikan keyakinan ia selamat kepada pengguna sedia ada dan pengguna akan datang untuk terus menggunakannya,” katanya.

Jelas Zulkarnain, menerusi pelesenan itu kerajaan bukan sahaja dapat mengawal selia aspek perlindungan pengguna, tetapi juga ketidakseimbangan dalam pasaran supaya aspek-aspek atau kesinambungan perkhidmatan tradisional dan perkhidmatan penyiaran dilindungi.

Sebagai contoh, beliau berkata aktiviti cetak rompak yang melanggar undang-undang bukan sahaja memudaratkan keselamatan pengguna, malah keseimbangan pasaran dan menjejaskan perlindungan atau keadilan kepada penyedia kandungan.

Mengenai kerangka kawal selia itu, Zulkarnain berkata ia mempunyai tiga asas utama yang difokuskan iaitu perlindungan pengguna, pasaran terbuka dan keadilan.

Menurutnya, berdasarkan intervensi itu, perlakuan yang menyalahi peraturan dalam talian dan di luar talian tidak akan dibezakan. 

Beliau berkata langkah pelesenan tersebut tidak akan menyekat kebebasan bersuara rakyat sebaliknya berfungsi bagi membendung pelbagai kemudaratan yang bakal berlaku dengan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) atau pemalsuan wajah (deepfake).

“Dalam perlembagaan kebebasan bersuara dijamin, namun begitu apa jua yang salah di alam nyata, di alam maya juga menjadi kesalahan,” tegasnya sambil menambah pengguna media sosial tidak perlu gusar dengan langkah pelesenan itu.

Zulkarnain berkata pelaksanaan itu hanya terpakai terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan penyedia perkhidmatan media sosial.

Menyentuh mengenai penguatkuasaan, beliau berkata penyedia perkhidmatan berdepan tindakan denda sehingga RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya jika tidak mendapatkan lesen yang dikehendaki bermula 1 Jan.

“Mereka juga dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.

“...manakala dalam kes pelanggaran yang lebih berat, MCMC boleh menyekat capaian kepada platform penyedia perkhidmatan tersebut, membatalkan lesen ASP(C) atau memulakan pendakwaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan