BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM

220 Mangsa Banjir Di Muallim Dan LMS Dipindahkan Ke Tiga PPS

24/08/2024 05:56 PM

IPOH, 24 Ogos (Bernama) -- Seramai 220 individu daripada 59 keluarga di Muallim serta Larut Matang dan Selama (LMS) telah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah berkenaan di sini, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 188 mangsa melibatkan 48 keluarga ditempatkan di dua PPS di Muallim manakala 32 individu terdiri daripada 11 keluarga dipindahkan di sebuah PPS sekitar LMS.

“PPS di Muallim terdiri daripada PPS Masjid Jamek Kampung Pasir dan PPS Masjid Jamek Slim Village, manakala di LMS, ia dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang. Satu lagi PPS dalam daerah sama telah ditutup iaitu PPS di Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan sama turut memaklumkan paras air di Sungai Slim, Slim River merekodkan tahap bahaya iaitu sekitar 26.29 meter berbanding tahap normal 23.5 meter, manakala 16 sungai lain di daerah Kinta, Perak Tengah, Muallim, Kuala Kangsar, Selama Kerian dan Bagan Datuk masih berada pada paras normal.

Sementara itu laluan A121 Jalan Slim River-Behrang Ulu di daerah Muallim terpaksa ditutup akibat jalan utama runtuh manakala  FT 004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang Gerik-Jeli, hanya dibuka kepada satu lorong akibat tanah runtuh.

“Antara tindakan awal yang dilakukan di JRTB ialah membersihkan kawasan sekitar tanah runtuh yang menghalang laluan selain memasang alatan keselamatan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan