AM

Mangsa Banjir Di Perak Berkurangan Malam Ini

24/08/2024 10:13 PM

IPOH, 24 Ogos (Bernama) -- Bilangan mangsa banjir di Perak menurun sedikit malam ini dengan 213 orang daripada 56 keluarga brbanding 220 orang (59 keluarga) ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Muallim dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan di Muallim seramai 128 mangsa daripada 32 keluarga dari Kampung Pasir masih ditempatkan di PPS Masjid Jamek Kampung Pasir manakala 60 orang daripada 16 keluarga yang tinggal di Kampung Slim Village pula berada di PPS Masjid Jamek Slim Village.

Kenyataan itu menambah 25 mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Tebuk turut ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di daerah Larut, Matang dan Selama.

"Paras air di Sungai Slim di Slim River berada tahap bahaya iaitu 24.52 meter (m) berbanding tahap normal 23.5m manakala 16 sungai lain di daerah Kinta, Perak Tengah, Muallim, Kuala Kangsar, Kerian dan Bagan Datuk berada pada paras normal," menurut kenyataan itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Perak Tengah, Muallim dan Hilir Perak mengalami hujan malam ini dan daerah Bagan Datuk diramalkan cuaca baik.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Perak memaklumkan laluan A121 Jalan Slim River-Behrang Ulu di daerah Muallim terpaksa ditutup akibat jalan utama runtuh manakala  FT 004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang Gerik-Jeli, hanya dibuka kepada satu lorong akibat tanah runtuh.

“Antara tindakan awal yang dilakukan di JRTB ialah membersihkan kawasan sekitar tanah runtuh yang menghalang laluan selain memasang alatan keselamatan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar.

"Laluan di FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang juga turut dibuka kepada satu lorong kepada semua kenderaan disebabkan berlaku runtuhan di bahu jalan berkenaan," menurut JKR.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan