AM

5,000 Rakyat Malaysia Bakal Dilatih, Digaji Di Bawah Perkongsian MDEC, Nasscom

25/08/2024 01:45 PM

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Sebanyak tujuh syarikat antarabangsa India di Malaysia komited  untuk melatih dan menggaji 5,000 rakyat Malaysia dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan National Association of Software and Service Companies (Nasscom).

Skim latihan dan pengambilan pekerja oleh tujuh syarikat itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata lebih banyak syarikat akan terlibat dalam inisiatif itu yang dimulakan dengan kerjasama MDEC dan Nasscom, menyaksikan pekerja tempatan dilatih untuk mendalami kemahiran dalam beberapa bidang utama termasuk bidang digital, kecerdasan buatan (AI) generatif (AI), keselamatan siber, pembangunan perisian dan teknologi Next Gen.     

"Ketika kerajaan MADANI terus berusaha meningkatkan infrastruktur bertaraf dunia dan mewujudkan keyakinan digital bagi menarik pelabur, komponen penting untuk mempercepat perkara itu adalah dengan pengambilan pekerja berkemahiran.  

"Melatih pekerja berkemahiran adalah penting dalam dunia digital serba pantas memandangkan teknologi berkembang setiap hari. Bermula dengan melatih golongan muda manakala pekerja sedia ada akan terus dilatih dan meningkatkan kemahiran mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 21 Ogos, Gobind menyaksikan pertukaran dua MoU antara kedua-dua pihak di New Delhi, India. 

Nasscom adalah persatuan perdagangan bukan kerajaan dan bertindak sebagai kumpulan advokasi industri teknologi India. 

Diasaskan pada 1988, Nasscom beroperasi sebagai pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, dan menjadi entiti penting kepada sektor teknologi India.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan