JENAYAH & MAHKAMAH

Perbicaraan Kes Terowong Dasar Laut Lim Guan Eng Ditangguh Ke 19 Sept

26/08/2024 12:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen di sini hari ini ditangguhkan ke 19 Sept kerana peguam utama yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak sihat.

Hakim Azura Alwi membenarkan penangguhan itu selepas seorang lagi peguam yang mewakili Lim, RSN Rayer memaklumkan kepada mahkamah peguam Haijan Omar mengalami demam panas.

"Saya baru dimaklumkan 2 pagi tadi bahawa Haijan demam panas. Oleh itu saya mohon penangguhan perbicaraan pada hari ini kerana prosiding mencabar kredibiliti memerlukan beliau (Haijan) untuk meneruskan soalan terhadap saksi," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding kepada 19 dan 20 Sept ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan