JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Sahkan Terima Laporan Video Gaduh Libatkan Dua Pemandu

27/08/2024 04:56 PM

BUKIT MERTAJAM, 27 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang pemandu kereta yang mendakwa dikasari pemandu sebuah bas kilang dalam kejadian di simpang tiga lampu isyarat di Kampung Juru, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata video kejadian itu turut tular di media sosial hari ini dan siasatan pihaknya mendapati insiden itu berlaku kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

"Berdasarkan siasatan, kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40-an telah keluar dari simpang tiga berkenaan sebelum dia berhenti dan menghalang bas kilang itu dari laluan yang sama.

"Pemandu bas yang juga lelaki tempatan berusia 50-an telah membunyikan hon yang panjang sebelum keluar dari kenderaan itu dan berlaku pergaduan antara mereka berdua," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, pemandu kereta itu telah menarik balik laporan polis selepas kedua-dua lelaki berkenaan menyelesaikan kes itu secara damai dan video insiden itu juga telah dipadamkan dari media sosial.

Terdahulu tular video berdurasi 34 saat memaparkan dua lelaki bergaduh di tengah jalan sehingga menghalang lalu lintas jalan raya  di situ dan difahamkan pemandu kereta itu telah menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu bas kilang berkenaan sebelum kedua-duanya bergaduh dengan saling memukul antara satu sama lain.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan