AM

MCMC Akan Jalankan Siasatan Awam Mengenai Pelesenan Media Sosial

27/08/2024 07:08 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan siasatan awam mengenai langkah pelesenan yang dirancang bagi media sosial dan rangka kerja penyedia perkhidmatan pesanan internet.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata siasatan itu dijalankan bagi memastikan rangka kerja akhir adalah adil, berkesan, dan mencerminkan keperluan kedua-dua pihak industri dan orang ramai.

MCMC berkata sejak Kabinet meluluskan rangka kerja itu pada 8 Mac, perbincangan dalam spektrum yang lebih luas dengan pihak kepentingan, termasuk penyedia perkhidmatan, pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang, telah diadakan.

"Penglibatan berterusan ini amat penting dalam membangunkan kerangka kerja kawal selia yang menangani keperluan dan kebimbangan semua pihak," menurut kenyataan itu.

MCMC berkata keperluan pelesenan untuk media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar diperkenalkan sebagai langkah penting ke arah persekitaran dalam talian yang lebih selamat, termasuk dalam menangani isu perjudian dalam talian, penipuan dan pornografi.

"Kerangka kerja kawal selia direka untuk memastikan ekosistem dalam talian kekal terbuka, selamat dan boleh dipercayai untuk semua pengguna sambil menggalakkan inovasi dan pelaburan.

“Permohonan lesen mengikut kelas tertentu yang dirumuskan itu hanya terpakai kepada pihak penyedia perkhidmatan, manakala pengguna akhir tidak memerlukan pendaftaran,” katanya.

MCMC berkata tempoh penangguhan selama lima bulan telah diberikan kepada semua platform untuk mematuhi keperluan pelesenan itu. Ia akan terlibat secara aktif dengan penyedia perkhidmatan untuk memudahkan peralihan yang lancar ke dalam kerangka kerja berkenaan menjelang 1 Jan tahun depan. 

"Dengan mengambil kira semua perkara ini, MCMC menggesa penyedia perkhidmatan melakukan segala usaha yang termampu untuk memastikan operasi mereka selari dengan undang-undang dan peraturan tempatan," katanya.

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan