EKONOMI

Untung Bersih Suku Kedua OSK Holdings Susut Kepada RM128.70 Juta

27/08/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih OSK Holdings Bhd (OSK Holdings) pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, turun kepada RM128.70 juta daripada RM131.03 juta pada suku yang sama tahun lepas.

OSK Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan syarikat merosot kepada RM368.42 juta daripada RM397.44 juta tahun lepas, terutamanya disebabkan prestasi lemah dalam industri dan segmen pegangan pelaburan.

“Perolehan dalam segmen industri susut 26 peratus kepada RM75.7 juta manakala keuntungan sebelum cukai menyaksikan penurunan mendadak sebanyak 55 peratus kepada RM5.8 juta pada suku kedua 2024 berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

"Prestasi kabel dan panel dinding sistem bangunan berindustri (IBS) terjejas oleh pembelian perlahan daripada beberapa pelanggan utama," katanya.

OSK Holdings mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak tiga sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.

Bagi separuh pertama 2024, kumpulan mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM251.63 juta daripada RM246.12 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan meningkat kepada RM736.36 juta berbanding RM730.64 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya disumbang peningkatan dalam segmen hartanah dan perkhidmatan kewangan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya Tan Sri Ong Leong Huat berkata kumpulan itu terus menumpu  untuk meningkatkan nilai pemegang saham dan memacu pertumbuhan yang mampan.

“Dengan momentum yang diperoleh pada separuh pertama 2024, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai objektif jangka panjang kami,” katanya.

Bahagian pembangunan hartanah kumpulan akan terus merancang dan melancarkan projek seperti yang dijadualkan sambil aktif memantau kemajuan serta kos serta melaksanakan strategi jualan dan pemasaran bagi memastikan kadar pengambilan yang kukuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan