AM

Melaka Ambil Tindakan Proaktif Pertingkat Kualiti Perkhidmatan Selular

27/08/2024 09:46 PM

MELAKA, 27 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan mengambil tindakan proaktif bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmat selular di negeri itu, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Beliau berkata antara langkah diambil termasuk melakukan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di laluan perhubungan utama membabitkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

“Pada siri ujian kali ini pula, laluan yang meliputi kawasan Durian Tunggal, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Jalan Penghulu Abbas, Dataran Pahlawan, Kota Laksamana, Klebang, Pulau Gadong dan Paya Rumput membabitkan jarak 62 kilometer (km).

“Dapatan daripada ujian ini, pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi (Telcos) komited untuk membina tiga struktur telekomunikasi baharu bagi menyelesaikan masalah liputan di kawasan perumahan Taman Bukit Tambun Perdana 1 dan 2, Durian Tunggal,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular 2024 Sesi Ketiga hari ini yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka Syed Isa Sheikh Alsagoff.

Pada siri ujian tersebut, hanya satu panggilan direkodkan terputus dan penyedia perkhidmatan yang menyertai ujian itu diminta mengambil tindakan segera serta melaporkan kerja-kerja penambahbaikan kepada kerajaan negeri menerusi MCMC.

Ujian sama dijalankan pada 16 Julai dan 13 Ogos lepas, juga melibatkan laluan utama antara daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Dalam pada itu, Fairul Nizam berkata beliau turut mengambil kesempatan meninjau pembinaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang baharu di Lorong Pandan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.

Beliau berkata NADI Lorong Pandan merupakan satu daripada sembilan NADI yang sedang dibangunkan di Melaka di bawah inisiatif ‘Satu DUN Satu NADI’ yang bertujuan memberi perkhidmatan sejagat yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan menerusi MCMC.

“Sehingga kini, 30 NADI telah beroperasi di Melaka sejak 2009 dan turut menyediakan akses jalur lebar secara kolektif kepada orang ramai.

“Pada masa sama, ia juga menyediakan pelbagai perkhidmatan pintar iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta penyampaian maklumat yang tepat berkenaan inisiatif kerajaan bertujuan meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti sekitar NADI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan