BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM

Perpaduan Berbilang Kaum Faktor "Wow" Malaysia Capai Kemajuan

29/08/2024 11:13 AM

Oleh Shaidathul Suhana Ros

JOHOR BAHRU, 29 Ogos (Bernama) -- Semangat patriotisme kira-kira 34 juta rakyat Malaysia berada pada tahap tertinggi bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sekali gus menyaksikan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum terserlah dalam meraikan kesatuan sebuah negara merdeka.

Penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata perpaduan ialah tunjang utama pembangunan sesebuah negara merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi. 

“Perpaduan ialah faktor wow buat sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia yang dihuni masyarakat Melayu, Cina, India, etnik Sabah dan Sarawak serta Orang Asli. Faktor wow itu perlu diangkat ke persada dunia sebagai imej utama negara ini. 

“Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjadikan konsep Bangsa Johor yang dipopularkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai kompas untuk memastikan perpaduan dan kesepakatan rakyat kekal, bukanlah hanya semasa Bulan Kebangsaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di UTM di sini baru-baru ini.

Mohd Azhar yang juga Pensyarah Kanan Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM berkata konsep Bangsa Johor adalah unik kerana ia telah membina kesatuan dan perpaduan antara pemimpin tertinggi dengan rakyat.

“Idea ini telah dipraktikkan pemimpin negeri dalam memajukan Johor khususnya dalam aspek ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan sebagainya. Konsep ini mengandungi pengertian sosiologi sejarah dan budaya dalam menyatukan pemikiran serta jiwa rakyat pelbagai kaum untuk hidup aman, damai dan sejahtera. 

“Uniknya konsep Bangsa Johor yang diperkenalkan sejak 129 tahun lepas itu tidak memupuk gaya hidup berpuak-puak, sebaliknya mementingkan semangat ukhuwah dan persaudaraan selari dengan cogan kata pada jata negara Bersekutu Bertambah Mutu,” katanya. 

Menurut beliau, Sultan Ibrahim ialah figura yang tepat untuk memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat terus subur sekali gus memacu pertumbuhan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur khususnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Dalam konteks Malaysia adalah amat penting untuk mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara bagi memberi kesan positif terhadap pembangunan ekonomi menerusi kemasukan pelaburan asing. Perpaduan ialah konsep yang hidup dan mesti diberi makna dalam bentuk pelaksanaan dan amalan.

“Perpaduan perlu dibuktikan dengan adil dan saksama kepada berbilang kaum serta dilihat oleh rakyat sebagai perkara yang serius dan bersungguh-sungguh daripada kerajaan. Pada masa sama, rakyat juga bertanggungjawab membina identiti diri sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu dan bukan mendahulukan latar belakang kaum mereka,” katanya.

Mohd Azhar berkata Sultan Ibrahim telah memulakan pentadbirannya dengan langkah kanan apabila menitahkan agar ahli politik menekankan perpaduan dan kestabilan serta mengelakkan perbuatan yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara rakyat, semasa membuka sidang Parlimen pada Februari lepas.

“Sebagai ketua negara ketika ini, Seri Paduka Baginda boleh menganjurkan program seperti Kembara Mahkota Johor (KMJ) di peringkat nasional melibatkan kesemua 14 negeri. Program seperti ini bukan sahaja mendekatkan hubungan raja dan rakyat, tetapi juga mewujudkan kesepaduan antara rakyat berbilang kaum, agama dan fahaman politik.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda juga boleh menaungi pelbagai program dialog dan wacana bertemakan perpaduan kaum untuk mengurangkan segregasi dan jurang antara kaum dalam pelbagai aspek kehidupan seharian,” katanya.

KMJ yang diilhamkan oleh Sultan Ibrahim pada 2001 ketika bergelar Tunku Mahkota Johor bertujuan menyelami denyut nadi rakyat jelata dan sejak itu, KMJ menjadi satu daripada acara utama tahunan Johor sekali gus merapatkan hubungan Istana Johor dengan rakyat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan