BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM

Mohd Na'im Arah Pejabat Mufti WP Panggil Ibrahim Mat Zain

29/08/2024 04:36 PM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) memanggil Ibrahim Mat Zain atau digelar ‘Raja Bomoh’ dengan segera bagi memberikan nasihat tentang batas akidah dan iman serta tidak terjebak dalam amalan yang membawa kepada penghinaan agama Islam.

Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya maklum dengan kegelisahan umat Islam terhadap kehadiran Ibrahim Mat Zain di lokasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur semalam. 

“JPM (Hal Ehwal Agama) menyeru umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan apa-apa aktiviti ritual yang bertentangan akidah Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ibrahim hadir ke lokasi pencarian mangsa tanah jerlus dan memberikan tawaran untuk membantu mencari mangsa.

Ibrahim turut dilihat merenjis air 'istimewa' di sekitar lokasi berhampiran kejadian.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata Ibrahim telah didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) pada 2017 kerana kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina dan telah membuat pengakuan bersalah. 

“Pada masa yang sama, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah memerintahkan individu berkenaan menjalani konsultasi akidah di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 506),” katanya.

Pada 23 Ogos lepas, satu insiden tanah jerlus berlaku di Jalan Masjid India dan menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai G. Vijaya Laksmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan