AM

KUSEL, UiDA Jalin Kerjasama Bagi Pengurusan, Pembangunan Infrastruktur Utiliti

03/09/2024 09:05 PM

SHAH ALAM, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan Selangor dan Kedah menerusi Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dan Utiliti Infra Darul Aman (UiDA) menjalin kerjasama strategik bagi pengurusan dan pembangunan infrastruktur utiliti yang lebih bersepadu.

Kerjasama kedua-dua agensi yang bertunjangkan kepada perkongsian kepakaran, teknologi, jaringan perkhidmatan dan khidmat nasihat itu antara lain membolehkan KUSEL menawarkan sokongan dan khidmat nasihat kepada UiDA ke arah memperkasa pengetahuan dalam pengurusan strategik infrastruktur utiliti.

Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan KUSEL Khairul Azmi Misran dan Ketua Pegawai Eksekutif UiDA Ir. Ahmad Taufik Radzi di sini hari ini dengan disaksikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Amirudin berkata kerjasama strategik antara dua agensi bertanggungjawab untuk koridor dan pangkalan data utiliti itu membolehkan kedua-dua pihak berkongsi pengalaman dan kepakaran memandangkan kedua-dua negeri berbeza dari segi geografi, struktur tanah serta pembangunan ekonomi.

Beliau berkata perancangan pembangunan bagi setiap negeri berdepan isu sama iaitu pengurusan utiliti yang tidak sempurna dari aspek perekodan menyebabkan kos pembangunan meningkat berkali ganda sekali gus mengundang kelewatan sesuatu projek dilaksanakan.

"Pengalaman kita di Selangor, kos pembangunan infrastruktur ada kalanya meningkat sehingga 10 kali ganda disebabkan tiada pelan utiliti yang baik, seterusnya memberi ilham untuk kita tubuhkan KUSEL sekitar tiga tahun lepas dengan peranan menyelaras dan mengurus koridor utiliti serta pemudah cara dalam proses permohonan permit utiliti di Selangor.

Di Selangor ini agak rumit sebab kita ada kawasan yang tepu bina dan saya percaya kerjasama ini membolehkan KUSEL dan UiDA bergerak seiringan dalam membangunkan infrastruktur utiliti di kawasan masing-masing melalui perkongsian maklumat serta kepakaran selepas ini," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata pemetaan utiliti sangat penting dalam memastikan sesuatu pembangunan seperti pembinaan jalan serta pemasangan jajaran paip air yang dirancang tidak terganggu atau tertangguh berikutan terpaksa menguruskan hal berkaitan infrastruktur utiliti terlebih dahulu apabila sesuatu kerja tanah bermula.

"Pemetaan utiliti penting dibuat dengan baik kerana jika tidak, banyak kerja terpaksa ditangguh sebab keadaan di lokasi atau tapak projek selalunya tidak sama sepertimana yang dilakar di atas kertas pembangunan berikutan maklumat rekod utiliti yang tidak selari dengan pembangunan semasa.

Perkara ini banyak berlaku di Kedah dan sebab itu kami datang belajar dengan Selangor, iaitu antara negeri yang paling mencabar dari aspek pengurusan utiliti, terutamanya utiliti bawah tanah," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan KUSEL Khairul Azmi Misran berkata jalinan kerjasama itu terhasil susulan kunjungan Perbadanan Menteri Besar Kedah dan UiDA ke agensi itu pada Jun lepas yang pastinya akan memberi manfaat dua hala bukan sahaja kepada kedua-dua agensi tetapi rakyat secara keseluruhan.

Dengan visi untuk membangunkan infrastruktur utiliti di kawasan masing-masing secara lebih efisien, beliau yakin KUSEL dengan kepakaran dan pengalaman dalam menguruskan utiliti di Selangor dapat memberi dorongan dan panduan kepada UiDA dalam peranannya sebagai agensi penyelaras bagi pembangunan infrastruktur utiliti di Kedah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan