SUKAN

Muhammad Nazmi Mahu 'pulun' Awal Ke LA28

04/09/2024 08:42 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 4 Sept (Bernama) -- Atlet olahraga para negara, Muhammad Nazmi Nasri tekad bekerja lebih keras untuk memastikan beliau layak beraksi pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28) sekali gus memburu pingat emas.

Biarpun kecewa pulang dengan tangan kosong pada penampilan pertamanya di Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, Muhammad Nazmi berkata beliau tidak akan mensia-siakan masa yang ada untuk merealisasikan impian seterusnya.

Juara dunia itu menamatkan saingan acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) di Stade de France semalam dengan berada di tempat kelima menerusi catatan terbaik pada lompatan keduanya, 6.00 meter (m).

“Persembahan saya di Paris 2024 kurang memuaskan tapi apa boleh buat, saya telah buat terbaik dan itu takdir daripada Allah SWT.

“Insya-Allah di LA28 saya mahu ‘pulun’ dan mesti sasar emas,” katanya kepada Bernama di sini.

Pingat emas dimenangi atlet Argentina Brian Lionel Impellizzeri dengan lompatan 6.42m manakala perak diraih Samson Opiyo dari Kenya (6.20m) dan gangsa milik Mateus Evangelista Cardoso dari Brazil (6.20m).

Pencapaian itu juga menyaksikan atlet berusia 21 tahun tidak berjaya melepasi catatan peribadi terbaiknya iaitu 6.13m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lepas.

Muhammad Nazmi yang mengalami erb’s palsy sejak lahir sehingga sebelah badan kirinya kecil dan lemah juga berharap dapat menguatkan ketahanan fizikal, meningkatkan kelajuan dan memantapkan teknik lompatan untuk pergi lebih jauh pada masa depan.

Biarpun perasaan gemuruh menyelubungi dirinya di Paris 2024, beliau mengakui seronok mengumpul pengalaman berharga sekali gus mampu mematangkan dirinya untuk mengawal tekanan sebaik mungkin dalam kejohanan mahupun temasya sukan mendatang.

Ditanya mengenai sasaran seterusnya, atlet dari Batu Pahat, Johor itu berazam untuk mempertahankan emas dimenangi di Kobe pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan