BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 AM

Tiga Warga Malaysia Ditahan Di Filipina Diterbangkan Ke Manila Esok - Saifuddin

05/09/2024 05:37 PM

KOTA KINABALU, 5 Sept (Bernama) -- Seramai 11 individu termasuk tiga warganegara Malaysia yang ditahan selepas disyaki memasuki perairan Filipina secara haram pada Ahad (1 Sept), akan diterbangkan ke Manila, Filipina esok.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka dihantar ke Manila untuk proses dokumentasi, sebelum pengusiran dilakukan pihak berkuasa Filipina.

“Selebihnya empat lagi warganegara Malaysia masih ditahan di selatan Filipina untuk proses siasatan pemilikan bot. Kes memasuki perairanan Filipina itu melibatkan bot, jadi kerajaan di sana menahan bot berkenaan dan akan mengetahui siapa pemilik bot berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024, dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di sini hari ini.

Pada Ahad, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China, selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.

Memetik laporan Philippines News Agency (PNA), Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina Norman Tansingco, melalui kenyataan berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai konvensyen berkenaan Saifuddin berkata program kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan Sabah itu menggambarkan sinergi strategik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, dalam usaha menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa secara lebih berkesan dan bersasar.

“Melalui Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) yang dipengerusikan oleh saya dan Ketua Menteri Sabah, beberapa perbincangan penting telah diadakan dalam menangani isu Pendatang Tanpa Izin.

“Antara keputusan yang telah diambil ialah meneruskan aktiviti pendataan digital warga asing di Sabah, yang merupakan usaha sama antara kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

“Inisiatif ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah kepelbagaian dokumen identiti serta meningkatkan pengurusan warga asing di Sabah secara lebih berkesan dan sistematik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan