JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Tolak Kemasukan 29 Warga Pakistan Di Langkawi

06/09/2024 04:33 PM

ALOR SETAR, 6 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menolak kemasukan 29 individu warganegara Pakistan yang tiba di kaunter pemeriksaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Rabu lepas.

Pengarah JIM Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata kesemua warga Pakistan yang berada dalam keadaan mencurigakan itu telah dihantar pulang ke negara asal mereka semula selepas diberikan notis penolakan masuk.

“Kumpulan yang terdiri daripada 28 lelaki dan seorang wanita itu telah tiba dengan sebuah pesawat pada Rabu dan mereka dipercayai datang ke Langkawi untuk menyertai acara sukan ‘Tuba Cross Country Run’ di Pulau Tuba esok.

“Semasa ditahan, mereka yang memakai baju sukan hanya membawa baju kurta di dalam beg … mereka tidak membawa pakaian yang bersesuaian dan itu mungkin strategi untuk menyembunyikan motif sebenar mereka ke sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat mendapati warga asing itu telah membelanjakan hampir RM2,000 setiap seorang untuk kos penerbangan dan perbelanjaan lain sedangkan yuran penyertaan untuk menyertai acara sukan terbabit hanya berjumlah RM45 dan hadiah utamanya ialah RM300.

“Pihak penganjur acara sukan itu telah mengesahkan bahawa tiada peserta asing lain yang mendaftar selain kumpulan berkenaan. Disebabkan niat dan motif yang tidak munasabah ini, pegawai imigresen di kaunter lapangan terbang itu memutuskan untuk menolak kemasukan mereka di bawah Seksyen 8(3)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki bukan pelancong tulen.

“Keputusan ini diambil untuk memastikan keselamatan dan integriti negara dijaga. Modus operandi kumpulan ini ialah mereka akan menempah bilik di hotel bajet di Langkawi dan membeli tiket pulang ke Dubai sehari selepas acara dan ia menimbulkan persoalan mengapa mereka mahu meninggalkan negara selepas acara sukan itu habis,” katanya.

Mohd Ridzzuan berkata lazimnya peserta yang menyertai sebarang program di Langkawi akan mengambil masa untuk melancong dan meneroka lokasi menarik di sini sebelum pulang ke negara asal masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan kemasukan pelancong yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini dan pihak yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan