AM

Duta Malaysia Optimis Hubungan Malaysia-Vietnam Terus Maju

17/09/2024 02:42 PM

PHNOM PENH, 17 Sept (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai menegaskan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam akan terus berkembang pesat.

Beliau berkata penglibatan diplomatik yang kukuh antara kedua-dua negara ASEAN ini telah memainkan peranan penting, melangkaui kerjasama tradisional kepada hubungan rakyat dengan rakyat yang utuh sejak hubungan itu terjalin pada 1973.

"Malaysia menganggap Vietnam sebagai rakan kongsi penting, terutamanya ketika kedua-dua negara meneroka dan memperluaskan bidang kerjasama baharu termasuk pembangunan industri halal dan tenaga boleh diperbaharui.

"Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara terus berkembang dan pelaburan kita dalam ekonomi masing-masing telah mewujudkan peluang untuk pertumbuhan dan pembangunan," kata Tan pada sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dan Hari Malaysia ke-61 yang diadakan di Hanoi pada Isnin.

Duta itu memulakan ucapannya dengan menzahirkan solidariti terhadap penderitaan rakyat Vietnam selepas Taufan Yagi melanda beberapa bahagian, terutamanya di wilayah utara negara itu minggu lalu.

"Selepas bencana oleh Taufan Yagi baru-baru ini, doa kami bersama mereka yang terkesan akibat peristiwa dahsyat ini. Kemusnahan yang ditinggalkan adalah peringatan jelas tentang kekuatan alam yang sukar dijangka.

"Namun, ia juga menjadi bukti kekuatan dan ketabahan luar biasa rakyat Vietnam. Ketika krisis, semangat kolektif, belas kasihan dan tekad rakyat adalah yang paling menyerlah," kata Tan.

Lebih 300 orang terkorban manakala kerugian awal dianggarkan berjumlah US$1.6 bilion dan dijangka meningkat apabila negara itu terus bergelut dengan kejadian banjir besar, angin kencang dan tanah runtuh.

Tan juga berkata, tahun depan menandakan satu lagi tahun penting untuk hubungan Malaysia-Vietnam apabila kedua-dua negara meraikan satu dekad penubuhan Perkongsian Strategik kedua-dua negara.

"Saya turut gembira melihat interaksi dan pertukaran pelajar institusi pengajian tinggi kita, peningkatan jumlah pelajar Vietnam yang memohon untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia, penyertaan berterusan dalam Program Kerjasama Teknikal Malaysia, serta aliran pelancong yang stabil antara kedua-dua negara.

"Dalam semangat sempena hari yang penting ini, marilah kita memperbaharui komitmen kita terhadap prinsip kemerdekaan, perpaduan dan kerjasama serantau.

“Semoga kedua-dua negara terus maju dan semoga persahabatan antara Malaysia dan Vietnam terus diperkukuh pada masa hadapan," kata Tan mengakhiri ucapannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan