AM

Pulau Pinang Tuan Rumah WRTC 2024 Yang Diadakan Buat Julung Kalinya Di Luar China

03/10/2024 04:28 PM

GEORGE TOWN, 3 Okt (Bernama) -- Buat julung kalinya Persidangan Pengembaraan Penyelidikan Dunia (WRTC) akan dianjurkan di luar China, dengan Pulau Pinang telah dipilih sebagai tuan rumah edisi 2024 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini dari 3 hingga 7 Nov depan.

Dianjurkan Pertubuhan Pengembaraan Penyelidikan Dunia (WRTO) dan disokong oleh Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB), persidangan ini bertambah istimewa kerana ia diadakan semasa sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia serta ulang tahun ke-11 perkongsian strategik menyeluruh dua negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata Pulau Pinang komited untuk menyokong acara yang menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan antarabangsa dan pertukaran pendidikan, sejajar dengan Visi Penang 2030 untuk memperkukuh hubungan global dan memajukan amalan pelancongan mampan.

“Pengembaraan penyelidikan yang menggabungkan pendidikan dan perjalanan adalah trend yang berkembang pesat di seluruh dunia. Sangat menarik untuk melihat bagaimana persidangan ini akan menonjolkan peranan pengembaraan penyelidikan dalam memupuk minda generasi muda, mempromosikan pemahaman antara budaya dan memperkukuh hubungan antara komuniti kita.

“Sebagai penghormatan kepada ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China serta ulang tahun ke-11 perkongsian strategik menyeluruh, persidangan ini juga akan menampilkan China sebagai negara jemputan buat kali pertama.

“Persidangan ini menyediakan platform yang sangat baik untuk meraikan persahabatan kita di samping memperkukuh kerjasama antara negara dalam pelbagai bidang termasuk pelancongan, pendidikan, budaya dan penglibatan belia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Penganjur WRTC 2024 Datuk Seri Dr Abdul Khani Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif PCEB Ashwin Gunasekeran.

Wong berkata persidangan itu juga akan menyediakan peluang unik untuk Pulau Pinang berhubung dengan pakar pengembaraan penyelidikan global, wakil budaya dan pendidikan, media, rakan industri dan ahli akademik, sekali gus memupuk ekosistem kerjasama saling pertukaran idea, jalinan perkongsian dan inovasi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan berkualiti tinggi.

“Acara berkualiti tinggi ini bukan sahaja meningkatkan profil antarabangsa Pulau Pinang, malah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi tempatan,” tambahnya.

Beliau berkata kira-kira 600 peserta dari China telah mendaftar untuk menyertai persidangan ini dan beliau percaya jumlah itu akan meningkat dalam beberapa minggu lagi kerana mereka menyasarkan untuk mengumpulkan kira-kira 1,000 peserta.

Sementara itu, Abdul Khani berkata pihaknya telah menerima pengesahan penyertaan dari negara-negara Asia Tenggara serta Nepal, dan lain sedang meninjau beberapa negara di Eropah untuk turut serta dalam persidangan itu nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan