AM

Ban Pecah Di 12 Kawasan Di Bagan Datuk, Perlu Peruntukan Besar Untuk Diperbaiki

06/10/2024 07:48 PM

BAGAN DATUK, 6 Okt (Bernama) -- Baik pulih ban pecah di 12 kawasan di Bagan Datuk memerlukan kos yang tinggi iaitu sekurang-kurangnya 10 juta bagi setiap ban, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata setakat ini kerajaan telah memperuntukkan RM18 juta bagi membaiki ban Sungai Tiang Selatan dan akan memohon RM10 juta lagi daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk pembaikan ban Sungai Tiang Utara.

“Saya ingin menyebut terdapat 12 kawasan (di Bagan Datuk) yang telah pecah (ban) dan ini memerlukan kos yang cukup tinggi. Walaupun dua daripada ban itu telah ada pengumuman yang saya buat tadi tetapi yang 10 lagi memerlukan sekurang-kurangnya RM10 juta setiap satu untuk diperbaiki dan ditambah baik.

“Ertinya saya memerlukan peruntukan daripada PETRA…saya akan ikhtiarkan dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk memperolehi peruntukan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas merasmikan penutupan Jelajah Hari Terbuka ‘Malaysia MADANI, UNISEL Depani’ dan Kelapa Fest Bagan Datuk 2024 di Dataran Waterfront Bagan Datuk di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan RM500,000 untuk menaik taraf kunci air yang telah rosak untuk menahan banjir atau air laut daripada memasuki kawasan di Sungai Tiang.

Ahmad Zahid berkata muka bumi Bagan Datuk lebih rendah daripada paras laut menyebabkan air laut akan melimpah dan merosakkan kawasan tebatan banjir dan ban ketika hujan lebat dan air pasang besar,

“Ada dua sebab utama, pertamanya kerana perubahan iklim dan keduanya kerana pemanasan global. Dua faktor ini merupakan fenomena di seluruh dunia.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan pengarah JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan jurutera JPS serta pegawai daerah dan PTG (Pejabat Tanah dan Galian) untuk kita buat penyelesaian yang menyeluruh bagi kawasan Bagan Datuk khususnya dan kawasan-kawasan lain,” katanya.

Terdahulu menerusi kenyataan di laman Facebook, Ahmad Zahid memaklumkan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Tebuk Semani dan Kampung Sungai Nipah di sini akan membawa 1,001 manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Projek itu juga akan dapat mengurangkan impak banjir serta kerosakan harta benda awam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan