EKONOMI

Nihon M&A Center Tubuh Syarikat Pengurusan Dana Untuk Pengembangan Di ASEAN

07/10/2024 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Nihon M&A Centre Holdings menubuhkan anak syarikat pengurusan dana ASEAN to Global Capital (AtoG Capital) untuk menyokong pengembangan syarikat Jepun ke rantau Asia Tenggara.

Menerusi dana itu, ia bertujuan untuk memudahkan urus niaga penggabungan dan pengambilalihan (M&A) rentas sempadan dan kerjasama pertama dimulakan di Malaysia dengan CK MAC Global Sdn Bhd, sebuah syarikat perdagangan yang pakar dalam mesin kawalan berangka komputer dan perkhidmatan selepas jualan yang beroperasi di Malaysia dan Singapura, kata Nihon M&A Centre dalam kenyataan hari ini.

AtoG Capital juga menumpukan kepada mempromosikan peluang M&A rentas sempadan antara syarikat Jepun dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ASEAN, katanya.

Inisiatif itu menekankan komitmen syarikat dalam membantu PKS menstruktur semula operasi mereka, dengan matlamat akhirnya untuk mewujudkan perkongsian yang berjaya dengan syarikat Jepun.

Ketua Rantau ASEAN Nihon M&A Center Yusuke Ojima berkata Jepun dan ASEAN telah menjalin hubungan perniagaan yang kukuh selama beberapa dekad, didorong oleh komitmen bersama terhadap pembangunan ekonomi di rantau itu.

“Dengan penubuhan AtoG Capital, ini menandakan langkah penting dalam memudahkan peluang pelaburan rentas sempadan. Kami berdedikasi untuk menyediakan sumber dan kepakaran kepada pelanggan bagi menghadapai cabaran dalam urusan M&A antarabangsa, serta memupuk perkongsian yang berjaya yang dapat menggalakkan pertumbuhan mampan,” katanya.

Ojima berkata pasaran domestik di Jepun berada dalam fasa matang dan potensi pertumbuhan adalah terhad.

Pasaran ASEAN dan asing menawarkan peluang yang besar untuk syarikat Jepun berkembang.

Dengan mengembangkan pelaburan ke dalam pasaran pertumbuhan tinggi ini, syarikat Jepun boleh mengurangkan risiko yang berkaitan dengan turun naik ekonomi domestik dan memanfaatkan peluang baharu untuk pertumbuhan jangka panjang dan pengembangan pasaran.

AtoG Capital akan memudahkan proses keluar dua fasa untuk syarikat, menyokong penstrukturan semula dalaman dan seterusnya membantu dalam penjualan saham melalui khidmat nasihat Nihon M&A Center.

Dana itu akan memastikan penjajaran dengan piawaian perniagaan Jepun dan menawarkan pendekatan integrasi pasca penggabungan (PMI) yang berstruktur, sekali gus mengurangkan masa dan kos untuk memuktamadkan dengan jayanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan