AM

Karya Rekaan Batik Lestari Bakal Diketengahkan Pada ASEAN 2025

07/10/2024 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Karya rekaan batik yang dihasilkan menerusi Pertandingan Reka Bentuk Batik Lestari anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kumpulan MyCreative Ventures akan diketengahkan pada ASEAN 2025.  

Pengarah Sumber Korporat SC Meha Kasbun berkata selain berpeluang diketengahkan di persada global, pertandingan itu juga dapat menggalakkan amalan batik lestari dalam kalangan pemain industri batik dengan mengetengahkan pembuatan lebih mesra alam.

“Pertandingan yang dilancarkan pada 13 Sept itu diadakan bagi mempromosi dan mempamerkan kekayaan warisan batik kita selari seruan serta aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Sementara itu, Penolong Naib Presiden Pembangunan Perniagaan & Komunikasi Strategik Mycreative Ventures Rafiezi Tahir dalam program yang sama memaklumkan inisiatif mengadakan pertandingan itu dapat mengalakkan penggunaan natural dye dalam kalangan pereka batik.

“Kesedaran berkaitan kelestarian batik dalam kalangan masyarakat termasuk pereka batik masih rendah. Kita masih menggunakan pewarna batik yang ada unsur kimia. Jadi, bila ada insiatif seperti ini kita dapat membantu mempromosi serta menggalakkan penggunaan natural dye,” katanya.

Beliau berkata pertandingan sempena Hari Malaysia itu masih dibuka hingga 31 Okt dan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang berminat boleh menghantar satu penyertaan sahaja. 

Juara akan menerima wang tunai bernilai RM30,000 dan piala, pemenang tempat kedua pula bakal membawa pulang RM15,000 berserta piala manakala tempat ketiga RM10,000 dan piala. 

Orang ramai yang  berminat boleh melayari laman web https://www.sc.com.my/batiklestari atau www.sc.com.my/batiklestari untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan