SUKAN

25 Pasukan Berentap Di Tour Gateh D'Tranung 2024

07/10/2024 04:20 PM

KUALA TERENGGANU, 7 Okt (Bernama) -- Seramai 170 pelumba daripada 25 pasukan dari dalam dan luar negara akan menyertai kejohanan berbasikal Tour Gateh D'Tranung 2024 bermula 22 hingga 28 Okt ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim berkata penganjuran kali ketiga yang disertai 12 kelab tempatan dan 13 kelab profesional itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.

Beliau berkata sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Individu Keseluruhan, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Terbaik Tempatan dan Terbaik Bawah 23 Tahun.

“Antara pasukan tempatan yang bertanding ialah Terengganu Cycling Team (TSG), Armed Forces Cycling Team, Majlis Sukan Negara Malaysia, Selangor Cycling dan Propain Cycling Team.

“Pasukan luar negara pula adalah Global Cycling Team dari Belanda, Australia Velofit Cycling Team dan Nc Pro Cycling Team masing-masing dari Australia dan Indonesia.

“Selain itu, kita juga terima penyertaan daripada kelab China, Singapura dan Thailand,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata pelumba akan mengharungi lima peringkat perlumbaan sejauh 671.3 kilometer bermula dari Dungun hingga ke Kuala Terengganu.

Menurut beliau, penganjuran kejohanan ini diharap dapat meningkatkan lagi sektor pelancongan sukan negeri serta menjadikan Tour Gateh D'Tranung sebagai jenama antarabangsa yang tercatat dalam kalendar sukan berbasikal antarabangsa.

“Sebenarnya, kita terima permohonan daripada 35 pasukan yang berminat, tetapi kita terpaksa pilih 25 sahaja yang benar-benar berkualiti untuk memenuhi syarat yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Walaupun kejohanan ini tidak termasuk dalam UCI, kita cuba mengikuti peraturan ditetapkan supaya pertandingan lebih berprestij,” katanya.

Beliau berkata jersi kemenangan kali ini mengetengahkan elemen batik yang menjadi identiti negeri Terengganu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan