EKONOMI

PR1MA, CelcomDigi Bekerjasama Transformasi Rumah Dengan Penyelesaian Bandar Pintar

07/10/2024 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bekerjasama dengan CelcomDigi Bhd untuk mentransformasikan rumah PR1MA dan pembangunan komersial dengan penyelesaian bandar pintar.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata kerjasama ini menekankan komitmen bersama untuk meningkatkan sambungan, memupuk keterangkuman digital dan memperbaiki kualiti hidup pemilik rumah PR1MA dan komunitinya.

“Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara CelcomDigi dan anak syarikat milik penuh PR1MA, PR1MA Communications Sdn Bhd, kedua-dua pihak merancang untuk bekerjasama bagi menyediakan penyelesaian gentian optik ke rumah dan akses tanpa wayar tetap kepada projek PR1MA.

“MoU ini juga merangkumi pelaksanaan penyelesaian rangkaian berpusat yang diuruskan dari satu pusat data, yang akan membolehkan pemantauan penggunaan lebar jalur secara masa nyata dan menyediakan pengalaman digital lancar pada kos yang berpatutan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kedua-dua pihak sedang meneroka peluang untuk menawarkan pakej istimewa mudah alih dan jalur lebar, yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan digital komuniti PR1MA, menjadikan sambungan rangkaian berkualiti lebih mudah diakses dan mampu milik.

“Penyelesaian sambungan digital bersepadu ini merupakan asas untuk kedua-dua pihak meneroka pembangunan ciri bandar pintar seperti sistem keselamatan dan pengawasan, pengurusan tenaga yang cekap, dan pengurusan lalu lintas berasaskan data, yang semuanya meningkatkan keselamatan, keselesaan, dan kelestarian bagi komuniti PR1MA.

“Kerjasama ini juga menyokong inisiatif kerajaan dalam membangunkan bandar pintar serta memperkukuh penggunaan teknologi digital dan rangkaian pintar di peringkat nasional,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata kerjasama ini membolehkan kemajuan teknologi diteroka oleh semua lapisan masyarakat untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada inovasi bandar pintar ini.

“Kami berbesar hati dipilih oleh PR1MA untuk menyediakan sambungan digital terbaik dan penyelesaian inovatif yang penting dalam membolehkan kehidupan moden untuk komuniti PR1MA.

“Kami akan terus memperkukuh komitmen kami dalam mempercepat penerapan 5G, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maju dan selanjutnya menyokong transformasi negara ke arah masyarakat digital berdaya 5G-AI," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff berkata kerjasama strategik dengan CelcomDigi adalah satu langkah penting dalam usaha kumpulan untuk menyediakan persekitaran tempat tinggal yang menyeluruh dan holistik kepada penduduk PR1MA.

“Dengan memanfaatkan penyelesaian teknologi terkini, kami berhasrat untuk meningkatkan bukan sahaja keselesaan dan kemudahan komuniti kami, tetapi keselamatan dan kesejahteraan semua penduduk,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan