DUNIA

Datuk Bandar Mexico Dibunuh Beberapa Hari Selepas Memegang Jawatan

07/10/2024 10:02 PM

MEXICO CITY, 7 Okt (Bernama-Xinhua) -- Alejandro Arcos, datuk bandar Chilpancingo di negeri Guerrero, selatan Mexico, dibunuh pada Ahad, hanya enam hari selepas memegang jawatan, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.  

"Pemergiannya telah menyebabkan seluruh masyarakat Guerrero berkabung dan membangkitkan kemarahan yang membara," tulis gabenor negeri Guerrero Evelyn Salgado di media sosial X.

Arcos telah dipilih pada Jun sebagai wakil gabungan pembangkang yang termasuk Parti Revolusi Institusi (PRI). Berikutan pembunuhannya, PRI mengecam jenayah itu sebagai "pengecut" dan menuntut keadilan.

Menurut Presiden PRI Alejandro Moreno, pembunuhan Arcos berlaku tiga hari selepas pembunuhan Francisco Tapia, setiausaha majlis bandar Chilpancingo.

Pejabat peguam negara berkata ia telah membuka siasatan ke atas pembunuhan Arcos.

Guerrero, antara negeri termiskin di Mexico, mengalami keganasan bertahun-tahun berkaitan perebutan kawasan antara kartel yang berjuang untuk mengawal pengeluaran dan pengedaran dadah.  

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan