JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Mengaku Tidak Salah Kemuka Tuntutan Palsu

08/10/2024 12:15 PM

SHAH ALAM, 8 Okt (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan butiran palsu dalam tuntutan berjumlah RM302,850.48 bagi kerja-kerja pembaikan bot, tiga tahun lepas. 

Yap Sin Kong, 58, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Tertuduh didakwa dengan niat memperdaya seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) satu set invois mengandungi butiran palsu bagi kerja-kerja pembaikan Bot Perantas KB79-Stesen Wilayah Persekutuan Labuan dengan memasukkan butiran kerja berjumlah RM8,239 yang tidak dilaksanakan. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan Pengurusan Kewangan, Ibu Pejabat JKDM, Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya pada 5 Okt 2021, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Yap turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan bagi perbuatan sama di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-keduanya sekali. 

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

Yap yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mempertimbangkan jaminan yang rendah berikutan masalah kewangan dihadapinya. 

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah ikat jamin RM15,000 dan membenarkan semua permohonan pihak pendakwaan beserta syarat tambahan. 

Sebutan semula kes ditetapkan 13 Nov depan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan